Sunday, November 24, 2013

Minta jelaskan persediaan laksana Hudud

KOTA BHARU 24 Nov. - Pas didesak supaya tidak lagi beretorik, sebaliknya menjelaskan kedudukan sebenar dari segi persediaan mereka untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini selepas perkara itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1993.

Aktivis Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan, Mohd. Zawawi Awang berkata, penjelasan itu penting bagi mengelak sebarang keraguan yang timbul dalam kalangan rakyat berikutan kegagalan mereka melaksanakan hukum Islam itu setelah lebih 20 tahun memerintah negeri ini.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar dan persediaan Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum itu kerana sehingga kini mereka hanya bercakap kosong.

"Setakat mana atau apa persediaan (kelengkapan) yang telah dilakukan Kerajaan Pas Kelantan dalam usaha mereka untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini?

"Sebelum ini mereka pernah menyatakan mempunyai kelengkapan untuk laksanakan hudud tetapi sampai sekarang masih belum terlaksana. Mana mungkin terpaksa mengambil masa terlalu lama sedangkan enakmen berkaitan telah diluluskan sejak 1993," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Polemik hudud Pas Kelantan kembali tercetus apabila Jabatan Kehakiman Syariah negeri dilapor sudah bersedia selain mempunyai kemudahan mencukupi sekiranya Kerajaan Pas Kelantan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dalam masa terdekat.

Hudud antara janji utama Pas yang pernah dicanangkan kepada rakyat, malah turut dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 1990.

Walau bagaimanapun, hukum itu masih gagal dilaksanakan hingga kini dengan pelbagai alasan dan helah termasuk kononnya mendapat tentangan Kerajaan Pusat yang diterajui UMNO.

Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam tetap optimis hukum hudud yang diperjuangkan Pas akan dapat dilaksanakan di negeri ini. Mohd. Zawawi yang juga pendakwah bebas menyifatkan, istilah optimis, serius dan tidak boleh tergesa-gesa merupakan alasan lapuk Pas untuk mengaburi rakyat setiap kali isu itu dibangkitkan semula.

"Manakala alasan Kerajaan Pusat yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut hanya helah bagi mengalih persepsi rakyat kononnya UMNO menolak hudud," katanya. Jelasnya, kerajaan Pas Kelantan tidak patut meletakkan kesalahan kepada pihak lain atas kegagalan mereka melaksanakan hukum Islam itu memandangkan undang-undang syariah terletak di bawah kuasa mutlak kerajaan negeri.

Katanya, Kelantan boleh laksanakan hukuman hudud tanpa kebenaran Kerajaan Pusat atau Parlimen mengikut Kaedah 76 (1) (9) Perlembagaan negara.

"Perkara 76 (1) (9) Perlembagaan negara jelas menunjukkan campur tangan Parlimen hanya apabila diminta untuk menyelaras undang-undang Islam antara beberapa buah negeri. Maknanya kerajaan negeri boleh melaksanakan hukum ini tanpa kebenaran Kerajaan Pusat atau kelulusan Parlimen," katanya.( Urtusan online-politik).Posted b y ab nmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 9,27 am on November 25,2013.

No comments: