Friday, November 29, 2013

Ngo Islam sedia jadi perantara muzakarah Umno-PAS

DR. Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) mengadakan sidang akbar dalam Majlis Pertemuan Khas NGO-NGO Islam berkenaan Muzakarah UMNO-Pas Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur, semalam. 

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersedia menjadi perantara serta penyelaras usaha muzakarah antara UMNO dan Pas bagi memastikan kelangsungan perpaduan Melayu Islam di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemimpin NGO Islam di negara ini menyambut baik idea dan hasrat kedua-dua parti terbesar Melayu itu untuk mengadakan muzakarah berkenaan.

Menurutnya, NGO-NGO Islam sebagai golongan yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik telah bersetuju untuk menjadi penyelaras muzakarah terbabit demi mencari titik persamaan antara kedua-dua parti berkenaan. “

Titik persamaan tersebut tentulah menyentuh kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara ini sendiri.

Jadi penting muzakarah ini untuk segera dilaksanakan. “Begitu didambakan agar pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas dapat bersama meletakkan kepentingan Islam, Melayu dan negara ini lebih tinggi berbanding untuk mendapatkan kuasa politik, sebab itu NGO-NGO Islam ini yang juga mewakili masyarakat Islam terutama di akar umbi bersedia menjadi penyelaras pertemuan muzakarah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas dengan kepemimpinan kira-kira 32 NGO Islam di Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini menyatakan kesediaan mereka untuk bermuzakarah dengan UMNO dalam usaha pelaksanaan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Hasrat Abdul Hadi itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menyifatkan UMNO bersikap terbuka dengan hasrat Pas tersebut, namun meminta penjelasan lanjut berhubung skop muzakarah dimaksudkan.

Tambah Asyraf Wajdi, hasil pertemuan bersama NGO-NGO Islam juga telah dipersetujui untuk menganjurkan wacana khas melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu Islam dan golongan cendekiawan dalam masa terdekat ini.

“Wacana khas ini bertujuan memastikan muzakarah UMNO dan Pas itu nanti akan lebih konkrit, bermakna dan konstruktif antara kedua buah parti terbabit," katanya.

NGO-NGO Islam terbabit juga bersetuju untuk menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung UMNO minggu depan mengenai komposisi ahli dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang telah dilancarkan baru-baru ini.

“Kami sentiasa menyokong idea perpaduan nasional demi menjamin kestabilan negara ini, namun perpaduan ini tidak boleh dipisahkan daripada asas-asas kenegaraan yang berpandukan Perlembagaan terutama menyentuh Islam sebagai agama Persekutuan. “

"Kami bimbang kerana sebahagian komposisi dalam MKPN adalah mereka yang mendukung Comango, LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta membawa idea-idea asing daripada kerangka Perlembagaan negara. Mereka ini yang seolah-olah mahu mempertikaikan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa, usaha muzakarah menampakkan perkembangan positif lebih-lebih lagi selepas pertemuan antara Najib dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob semalam. ( Utusan online-politik).Posted b y abnmulya ./Bakar NInggal.blogspot.com.at 10.36 am on November 30,2013.

No comments: