Sunday, November 24, 2013

PAS akui sokongan Melayu menurun

SHAH ALAM 23 Nov. - Seorang perwakilan mengakui pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP gagal menguasai kumpulan pengundi Melayu sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Perwakilan Pas Perak, Dr. Mohd. Nuri al-Amin berkata, pada pilihan raya tersebut pakatan pembangkang kehilangan kira-kira lima peratus pengundi Melayu dan keadaan itu telah menyebabkan jumlahnya yang menyokong pihak pakatan menurun.

Sehubungan itu, beliau meminta Pas merangka beberapa strategi dalam usaha meraih semula sokongan pengundi Melayu terutama sebagai persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang. 

"Hakikatnya, kita belum berjaya dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi teras kita iaitu pengundi Melayu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati disini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Mohd. Nuri berkata, sekiranya Pas berjaya mendapatkan semula lima peratus undi orang Melayu yang hilang itu tidak mustahil negeri seperti Perak akan jatuh semula kepada pakatan pembangkang.

Sementara itu, wakil Kedah, Mohd.Nasir Zakaria berkata, Pas gagal memenangi sepenuhnya sokongan orang Melayu kerana hanya memiliki dua ciri daripada lima ciri yang dimiliki oleh UMNO.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Badan Profesional Berkaitan Kehendak Orang Melayu, keutamaan masyarakat Melayu antaranya adalah hak Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam dipertahankan.

"Pas memiliki dua ciri iaitu integriti dan Islam tetapi tidak seperti UMNO, Pas tidak dilihat membela institusi raja, tidak membela rakyat dan tiada tokoh masyarakat," katanya. Beliau juga mengingatkan lebih banyak kerusi parti itu bakal tumbang jika masalah dalaman Pas tidak diselesaikan (Utusan online-politik0.Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.13 am 0n November 25,2013.

No comments: