Thursday, November 21, 2013

PAS parti tidak berpendirian kerana gagal tetapkan prinsip

Mohd Syamsul Mohd Yusoff
KOTA BHARU 21 Nov. - Pas terus dilihat sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian apabila pemimpinnya gagal menetapkan prinsip serta dasar perjuangan mereka.

Pengerusi Biro Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, perkara itu terbukti apabila Dewan Muslimat Pas mempertahankan tahaluf siyasi meskipun Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib sebelum ini menggesa supaya konsep itu dikaji semula.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan Pas lebih mengutamakan kedudukan politik berbanding agama dan kesejahteraan umat Islam sejagat.

"Jika Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan agama, mereka seharusnya lebih beretika dan tegas dengan prinsip-prinsip perjuangannya.

"Mungkin mereka boleh mengatakan tahaluf siyasi itu mengukuhkan parti tetapi bagaimana pula kesannya terhadap agama dan bangsa, sedangkan pimpinan Pas sendiri akui sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu merosot pada pilihan raya umum lalu.

"Dalam aspek agama pula, apa yang boleh mereka buktikan kepada rakyat sepanjang bertahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang. Apa yang jelas sekutunya (DAP) tetap tidak menerima dasar Islam dibawa Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd. Yusoff menerusi ucaptamanya sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Pusat semalam menganggap konsep tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang semakin mengukuhkan kedudukan Pas dalam landskap politik negara.

Sebelum ini, Harun pernah mencadangkan agar konsep tersebut dikaji semula berikutan sokongan pengundi Melayu terhadap Pas merosot dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Harun sekali lagi mengulangi gesaannya supaya parti itu menilai konsep tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang ekoran kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya pendaftaran parti Islam tersebut dibatalkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Syamsul berkata, Pas seolah-olah masih ingin mempertahankan DAP biarpun Karpal telah beberapa kali mencetuskan kontroversi yang mengaitkan Pas, selain menyentuh sensitiviti agama.

Beliau berkata, Pas seakan-akan lupa akan perintah Allah di dalam al-Quran mengenai ciri-ciri orang munafik yang mengambil orang bukan Islam kalangan harbi sebagai teman rapat atau penasihat dan meninggalkan orang beriman.

Mohd. Syamsul tidak menafikan Islam tidak pernah menghalang konsep tahaluf siyasi dilaksanakan bersama bukan Islam asalkan tidak bercanggah dengan lunas-lunas Islam sebenar. "Allah ada menyebut di dalam al-Quran iaitu

"Kamu jangan duduk bersama dengan mereka (bekerjasama) sehingga membicarakan hal-hal yang lain, sekiranya kamu duduk juga dengan mereka maka kamu adalah sama seperti mereka.

"Maknanya, selagi mereka (bukan Islam) tidak menyentuh sensitiviti agama kita boleh bekerjasama, tetapi kalau sebaliknya kita wajib mufarakah tahaluf siyasi itu," katanya.(Utuisan online-politik).Posted  by7 abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1459 hrs on No
vember 22,2013.

No comments: