Sunday, November 24, 2013

Polis,Jabatan Peguam Negara perlu ambil tindakan

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara perlu menyiasat laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pembangkang kononnya suruhanjaya tersebut membawa masuk sebanyak 40,000 pengundi warga asing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengheretnya ke muka pengadilan memandangkan tuduhan beliau tidak berasas dan tiada bukti yang dikemukakan. 

Jelasnya, tindakan Anwar itu bukan sahaja berbau fitnah tetapi sikap beliau yang sering kali membuat 'pusingan 360' untuk menyelamatkan diri sendiri serta penipuan yang diuar-uarkannya boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan yang memerintah.

"Kita sudah lali dengan perangai Anwar yang amat berminat bermain pusingan U, apatah lagi sandiwara dan drama-dramanya," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Khas Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang itu menuduh SPR mendaftar 40,000 pengundi Bangladesh namun selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan pembangkang itu dalam pilihan raya umum lalu, Anwar menuding jari kepada penulis pro-UMNO kononnya memanipulasikan isu itu.

Muhammad Zahid menambah, Anwar sudah lama meninggalkan sifat malu untuk berbohong selagi impiannya untuk menjadi pemimpin negara tidak tercapai.

"Saya mohon selepas terbongkarnya satu lagi penipuan Anwar ini, rakyat wajib menolak Ketua Pembangkang itu. Tiada satu pun sifat dalam diri beliau yang boleh diangkat sebagai pemimpin," katanya. 

Pada majlis itu juga, TIBAI merasmikan Tabung Pembelaan Presiden Perkasa sebagai sokongan kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 pada 19 November lalu.

Katanya, tabung itu dilancarkan sebagai tanda hormat, persahabatan dan setia kawan terhadap Presiden Perkasa berkenaan. Ibrahim dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah menghina mahkamah berhubung penyiaran satu artikel berkaitan seorang hakim dalam laman web Perkasa. (Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.08 am on November 25,2013.

No comments: