Saturday, November 2, 2013

PRK Sungai Limau: BN dijangka menang dengan majoriti 700 undi

SABTU, 02 NOVEMBER 2013 13:18
HELME HANAFI 

Dari kiri: Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda Umno, Khiry Jamaludin Abu Bakar sedang menunjukan sesuatu kepada Menteri Besar Kedah,Datuk Mukhriz Tun Mahathir semasa kempen PRK Sungai Limau yang sedang berjalan rancak.
Datuk Paduka Mukhriz Mahathir tiba di Kuala Dulang Kecik lebih kurang pukul 11.40 Jumaat malam, ia merupakan program terakhir (BBQ bersama anak muda) malam semalam dan yang menyambutnya tidak lain dan tidak bukan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Di Sungai Limau ada lebih kurang 11,000 pengundi muda, mereka yang akan menentukan arah mana angin bertiup dalam PRK kali ini dan gandingan Mukhriz - KJ dilihat paling ideal menawan hati golongan ini. 

Sungai Limau bukan PRK biasa bagi BN atau lebih tepatnya UMNO, sejak PRU12, PRK Sungai Limau merupakan pertembungan paling taktikal dalam siri-siri PRK yang pernah diadakan sepanjang tempoh tersebut. 

Pemuda UMNO misalnya, pada PRK-PRK lepas, bilik gerakan mereka, dibuat secara besar-besaran, dengan signboard, "Pemuda gempur, pembangkang tersungkur". Namun tidak di Sungai Limau.

Agendadaily dimaklumkan, strategis pilihanraya BN membuat ketetapan untuk Pemuda berkempen secara 'low key' di Sungai Limau, satu-satunya DUN di bawah Parlimen Jerai yang tidak dikuasai oleh BN dalam PRU13.

Dua lagi DUN adalah Guar Cempedak dan Gurun. Kempen Pemuda yang 'low key' menyebabkan kehadiran mereka tidak dirasai sebagaimana biasa dengan faktor bilik gerakan mahupun program-program besar, sebaliknya di Sungai Limau, jentera mereka meresap terus ke setiap lokaliti.

"Semua EXCO diberikan PDM angkat dan mereka bekerja di lokaliti masing-masing, antara tugas mereka adalah berkunjung ke rumah-rumah yang Wanita dan Puteri tak boleh masuk, dan misi mereka bertemu dengan pengundi muda di rumah tersebut," kata sumber kepada Agendadaily.

Menurutnya, maklum balas yang diterima cukup positif. "Di PDM Simpang Tiga misalnya, jentera kita masuk ke kawasan hitam bertemu dengan anak-anak orang PAS, kita tanya apa yang mereka hendak, mula-mula ada penolakan dan cara bercakap pun sinis, tapi kita terus juga berkunjung ke situ, sehingga hari ketiga, pemuda yang sama bawa kawan-kawan dia tunggu kita, dan cakap hendak bola dan jaring sepak takraw..."

Seorang ahli 'bilik perang' UMNO memberitahu, golongan muda dan pengundi atas pagar di Sungai Limau memang hendak beri peluang kepada UMNO dalam PRK ini, mereka hendak merasakan perubahan, dan mahu memberi peluang kepada 'perubahan'.

"Tapi mereka tidak tunjuk, pengundi muda dan pengundi atas pagar yang hendak mengundi BN, tidak tunjuk sokongan mereka secara terbuka, ini kerana Sungai Limau kubu PAS, mereka rasa macam 'diancam' jika sokong secara terbuka,"ujarnya.

'Ancaman' tersebut hadir dalam berbagai bentuk, mungkin anak takut bapak marah kalau tunjuk sokong BN, mungkin kawan takut, jiran 'pulau' jika terang-terangan pakai baju biru dan macam-macam lagi.

Memang tidak dinafikan penyokong PAS kampung lebih 'radikal' dari penyokong PAS bandar. Kisah benar ini, boleh dijadikan contoh, petang Jumaat (semalam) di sebuah PDM kubu PAS, Agendadaily bersama Exco Pemuda UMNO Armand Azha Abu Hanifah singgah minum di sebuah restoran yang catnya pun warna hijau.

Kedai tepi jalan, bagi Armand yang siap berjaket BN, jentera UMNO jangan menghindari 'territory' PAS. 

"Kita kena dekati mereka, tunjuk persaudaraan kita,"ujar bekas ketua Waira Perkasa, kumpulan haluan kanan pro kerajaan.

Kami order minum dan roti canai, sudahnya... hanya minum yang sampai, kakak yang ambik order kata roti canai itu semua orang dah order, dan penebarnya hanya duduk baca akhbar, langsung tidak layan kami.

Ya ini kisah benar, tanyalah Armand dan beberapa rakannya, mereka saksi hidup, kejadian tersebut. Itu membuktikan betapa kuatnya politik 'boikot atau pulau' dikalangan orang kampung.

Bukan salah mereka, itu budaya yang ditanam sekian lama, yang tidak bersama kita, adalah musuh kita dan setiap musuh kita perlu dijauhi.

Sebab itu jugalah, ada rasa 'terancam' bagi pengundi atas pagar untuk tunjuk sokongan kepada BN, melalui pakai baju BN misalnya, walaupun mereka memang ingin perubahan.

Seorang jentera Wanita UMNO dari luar Kedah yang berkampung di PDM Kubu 10 memberitahu Agendadaily, di bilik gerakan BN kurang jentera tempatan, banyak orang luar yang buat kerja.

"Penyokong PAS tunjuk mereka sokong PAS, manakala yang bukan penyokong PAS tidak berani tunjuk secara terang-terangan mereka sokong UMNO dengan datang ke bilik gerakan...

"Kita tahu sokongan mereka kerana apabila kita buat bacaan sikap, jawapan-jawapan mereka menjurus kepada 'Berani Hijrah' berbanding 'Kekal',"ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Muhyiddin Yasin sedang memberi penerangan di sebuah sekolah pondok di PRK  dun Sungai Limau,dalam rangka mengadakan kempen PRK  ( DUN) Sungai Limau.
Slogan BN dalam PRK ini adalah 'Berani Hijrah', berani maknanya memerlukan satu kekuatan untuk keluar dari 'ancaman' PAS yang menggunakan slogan 'Kekal'.

Ada 19 PDM di DUN Sungai Limau, dari jumlah tersebut dalam PRU13 lalu, PAS menang 13 PDM manakala BN menang di enam PDM.

BN menang di Simpang Tiga, Selengkoh, Sungai Daun, Dulang Besar, Dulang Kechil dan Sungai Kering manakala PAS menang di Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

Dari risik-risik yang sampai ke Agendadaily, berbaki sehari lagi, BN mendahului di 10 PDM, dari enam yang asal tambah Sungai Limau, yang dijadikan pusat gerakan BN dalam PRK Sungai Limau. PDM Sungai Limau cukup strategik kerana selain menjadi nama DUN, ia juga merupakan kawasan dengan bilangan pemilih yang tinggi, lebih 10 peratus dari bilangan pengundi.

Bilik-bilik gerakan utama BN dipusatkan di PDM Sungai Limau, di Taman Mahsuri, di mana ada bilik gerakan Utama Wanita, Puteri dan Pemuda boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut. 

Tidak jauh dari situ, hanya satu kilometer, ada juga Command Centre BN, jika dilihat dari peta DUN Sungai Limau, PDM ini terletak ditengah-tengah, strategis UMNO percaya jatuh PDM Sungai Limau, jatuhlah DUN Sungai Limau.

Sumber PAS memberitahu Agendadaily, mereka akan kehilangan 500 undi di PDM tersebut. Selain Sungai Limau, BN kini mendahului di PDM Simpang Tiga Luar, PDM Sedaka, juga PDM Padang Lumat. Di PDM Padang Lumat, dalam PRU13 lalu, BN hanya kalah 5 undi pada PAS, dengan 84 undi pergi kepada salah seorang dari dua calon bebas.

Penganalisis percaya lebih separuh dari undi kepada calon bebas di PDM Padang Lumat tersebut akan diberikan kepada BN dalam PRK kali ini.

Selain itu BN juga mendahului di PDM Kampung Titi Batu, ini kampung calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, undi kaum kerabatnya cukup untuk memenangkan BN, dan ada harapan untuk lihat pengundi-pengundi tegar PAS di kawasan ini pangkah BN berikutan faktor calon 'orang kampung sendiri'.

Strategi BN mudah, di kawasan-kawasan BN kuat, cari undi ke peringkat maksimun, manakala di kawasan lemah, kurangkan undi PAS ke peringkat maksimun.

PAS selesa di Sungai Dedap, Gelap Tiga, Bukit Choras dan Bukit Besar. Di kawasan-kawasan ini fokus BN adalah untuk mengurangkan kekalahan secara maksimum, maknanya jika dulu kalah 400 undi, macam di PDM Bukit Choras, kali ini biar kalah 200, kalah tetap kalah.

Manakala PDM yang samar-samar adalah Matang Buloh atau Permatang Buloh. Kawasan ini perlu diputihkan lagi sebab itulah Mukhriz sendiri pada Khamis malam tidur di salah sebuah rumah penduduk kampung ini, Bahari Awang.

Bahari sendiri memberitahu media, beliau terkejut apabila jentera BN ketuk rumahnya untuk bertanya samada boleh atau tidak MB Kedah bermalam di situ.

"Kami mula-mula terkejut sebab orang BN minta izin nak bagi menteri besar tidur di rumah. Kami seganlah dengan rumah kami ini, dahlah rumah kampung, tak sesuai untuk orang macam beliau," kata Bahari.


Namun beliau dan isterinya Fatimah Din menerima kehadiran Mukhriz dengan rasa penuh teruja. Mukhriz sendiri menjadikan keluarga

Bahari yang mempunyai tujuh anak itu sebagai keluarga angkatnya di sungai Limau. Itu sebahagian usaha yang dilakukan oleh Mukhriz, selaku general perang BN negeri Kedah untuk memutihkan kawasan kelabu. 

Sebelum ini, general besar pilihanraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah turun ke Sungai Limau empat kali.

 Hari pengumuman calon, hari penamaan calon, 26 November dan 29 November, yang kelima dijadulkan esok 3 November. 

Jadual kempen Muhyiddin juga penuh taktikal, misinya adalah masuk ke kawasan-kawasan paling hitam, mendekati pemimpin dan tokoh masyarakat yang selama ini menjadi tiang seri kekuatan PAS Sungai Limau. 

Beliau masuk ke Bukir Choras, Bukit Besar, Sungai Dedap, kubu-kubu PAS, dan bertemu dengan 'penghulu' kawasan, berusaha untuk 'menuetralkan' mereka.

Sebab itu selepas 10 hari kempen, wujud keyakinan jika pencaturannya menjadi, dengan izin Allah Taala juga, BN menang di 11 PDM, cukup untuk menawan Sungai Limau dengan peratus 51,49%

Atau bahasa mudahnya majoriti antara 300 ke 500. Semua bacaan ini dibuat atas faktor undi Melayu, undi tradisi PAS dan UMNO, undi pengundi atas pagar dan undi golongan muda yang jentera BN sudah sampai dan buat kerja, tiga K, 'kalih, kepung, kawal'.

Belum termasuk faktor undi kaum Cina yang mewakili tujuh peratus daripada senarai pemilih berdaftar. "Malam esok (Sabtu) MB akan makan malam dengan komuniti Cina di SRJKC Yuk Min Sungai Limau, kita percaya jika masyarakat Cina swing ke BN lebih dari 50 peratus, BN boleh menang dengan majoriti lebih 1000," kata sumber.

Dalam perang PRK ini, setiap undi dikira, termasuk pengundi DUN yang tinggal di luar Kedah, dari data BN, ada lebih kurang 300 pengundi luar termasuk yang bekerja di Sabah dan Sarawak.

"Dari jumlah itu, kita hanya kira 50 saja undi kita, yang selebihnya, dari maklum balas penggilan telefon yang dibuat, menyebelahi PAS..."katanya. T

Tinggal satu hari lagi tempoh kempen, BN dijangka mempergiatkan usaha menarik sokongan orang muda, begitu juga dengan PAS.

Berbagai program akhir diatur untuk tarik sokongan orang muda dengan PAS menurunkan penceramah popular mereka Ustaz Azhar Idrus untuk mengekalkan PDM Sedaka, kawasan yang mana mereka percaya 'bermasalah'.

Jentera UMNO 'empat peringkat' kini sudah masuk gear lima, dengar cerita, ada dua orang pengundi yang bekerja di Sabah pun dibawa balik, peratusan keluar mengundi yang tinggi adalah kunci kejayaan BN yang mahu menawan DUN Sungai Limau.

11,000 pengundi muda kini menjadi faktor penentu, apakah Sungai Limau 'Berani Hijrah' atau 'Kekal' menjadi kubu PAS, seperti sebelum-sebelum ini.

Sejak berada di Sungai Limau mulai 21 Oktober lalu, 'membaca' corak angin untuk PRK kedua selepas Kuala Besut ini... Agendadaily percaya BN boleh menang dengan majoriti antara 500 ke 700.

Ya atau tidak, sama-sama kita tunggu.-OLEH HELME HANAFI DAN LUKMAN ABDULLAH Gambar: Agendadaily (Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 2137 hrs on November 02,2013).

No comments: