Saturday, November 16, 2013

Siti penerima Anugerah Naib Canselor UiTM

Sa'adah Rahmad melihat Anugerah Naib Canselor yang diterima Siti Aisah Kamarulzaman pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-79, UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor di Shah Alam, semalam. 

SHAH ALAM 16 Nov. - Graduan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) ketujuh terbaik dunia, Siti Aisah Kamarulzaman, 21, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) setelah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik.

Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan menerima anugerah tersebut yang disampaikan Pro-Canselor universiti berkenaan, Tan Sri Sallehuddin Mohamed dalam istiadat konvokesyen yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini hari ini.

Ibu kepada Siti Aisah, Sa'adah Rahmad, 52, ketika ditemui berkata, beliau sekeluarga berbangga atas kejayaan anaknya itu apatah lagi mengharumkan nama universiti apabila cemerlang dalam ACCA.

Beliau menyifatkan kejayaan yang diperoleh Siti Aisah itu berkat usaha gigih anaknya itu selain penekanan yang diberikannya bersama suami terhadap pendidikan anak-anak sejak kecil lagi.

"Saya dan ayahnya mendidik anak-anak untuk menghafal tiga benda di sekeliling mereka dalam bahasa Inggeris bersama maknanya dalam bahasa Malaysia, apabila sudah mahir saya akan menyuruh dia dan adik-beradiknya menghafal 10 benda pula.

"Ayahnya Kamarulzaman Udin menekankan agar anak-anak yang menghadapi masalah untuk menghafal dalam pelajaran untuk sentiasa mengingati Allah dan kedua ibu bapa setiap masa," katanya.

Sementara itu, Siti Aisah ketika ditemui menyifatkan kemahiran di dalam bahasa Inggeris merupakan asas kepada kejayaan cemerlang beliau dalam kursus yang mengikut piawaian yang ditetapkan badan perakaunan antarabangsa.

"Kejayaan saya disebabkan ibu bapa saya menekankan penguasaan bahasa Inggeris sejak dari sekolah rendah lagi, saya amat menghargai jasa kedua mereka yang mendidik saya hingga mampu sampai ke tahap ini," jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan beliau pada masa depan, Siti Aisah menyatakan hasratnya untuk bekerja selama tiga tahun sebagai Audit Associate di firma perakaunan yang kelima terbesar dunia, Binder Dijker Otte (BDO) dari Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai cawangan di sini.

Katanya, untuk melayakkan beliau menjadi Akauntan Bertauliah, pengalaman bekerja tiga tahun di firma tersebut perlu dipenuhi sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh pihak ACCA antarabangsa. ( Utusan on line-Dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1338 hrs on November 17,2013.

No comments: