Friday, November 8, 2013

UMNO tak akan nuat "pusingan U".

Hishammuddin Tun Hussein mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN 

KUALA LUMPUR 7 Nov. - UMNO tidak akan membuat 'pusingan U' untuk kembali kepada sistem pemilihan asal walaupun kaedah baharu yang digunakan dalam pemilihan parti baru-baru ini berdepan pelbagai masalah dan rungutan.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika memberi reaksi terhadap persoalan sama ada isu berkenaan akan diketengahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan depan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebarang masalah yang timbul dalam pemilihan berikutan pindaan Perlembagaan parti pada 2009 itu tidak akan menjadi sebab untuk UMNO bertindak sedemikian sebaliknya membuat penilaian terhadap proses penambahbaikan.

"Masalah sedikit tak jadi sebab untuk kita buat 'U-turn'. Masalah sedikit menuntut kita memperbetulkan keadaan, memperhalusinya. Tetapi (apa yang penting), proses untuk mengupayakan dan memperkasakan suara akar umbi sudah berjalan.

"Saya percaya itulah kehendak ahli-ahli kita supaya suara mereka didengar, mereka berhak untuk menentukan (pemimpin). Itu proses berani, proses yang memerlukan keyakinan. Keputusan dibuat dulu (pindaan Perlembagaan), diuji sekarang dan tidak menjejaskan parti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO di Menara Dato' Onn, di sini hari ini.

Hishammuddin memberitahu, proses pemilihan yang memberi ruang kepada kira-kira 146,000 'suara' akar umbi menentukan barisan kepimpinan itu membuktikan UMNO inklusif dan proses demokrasi dalam parti berjalan dengan sihat.

"Tidak pernah sesebuah parti membuat pindaan untuk memberi suara kepada akar umbi, tiada parti beri suara kepada perwakilan (hampir) 150,000 orang untuk menentukan (pemimpin). Ini bukti UMNO inklusif. 

"Namun, sebarang perkara yang menjadi kekangan, itu akan dibawa dalam pindaan akan datang," jelasnya. Berhubung perjalanan Perhimpunan Agung UMNO bulan depan, ujar beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 301 usul daripada 191 bahagian UMNO sempena perhimpunan itu nanti.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 273 usul diterima untuk rujukan dan 28 lagi usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul-usul yang ditolak.

"Kita juga akan mengambil kira pendirian sayap-sayap parti. Tetapi, pentingnya kepada usaha untuk kita melihat masa depan dengan merapatkan kembali barisan selepas pemilihan parti," katanya.

Mengikut pecahan, menurut beliau, usul ekonomi akan diselaraskan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin manakala usul berkaitan agama dan pendidikan oleh Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Kepada soalan sama ada isu mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan disentuh terutama menerusi ucapan dasar Presiden parti, beliau berkata :

"Saya percaya, tidak boleh elak daripada menyentuhnya".( Utusan online-).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.07 am on November 09,2013.

No comments: