NOVEMBER 17, 2013
Sultan Selangor menerima pujian daripada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia kerana pendiriannya yang tidak berkompromi membenarkan bukan Muslim di negeri tersebut merujuk Tuhan mereka dengan kalimah Allah.Dalam kolum Awang Selamat menerusi edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, tindakan Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) dipertahankan kerana membuktikan peranannya dalam memelihara kesucian agama Islam.
"Sultan tidak diam diri dan teragak-agak untuk bertindak apabila kedudukan Islam terancam," kata Awang Selamat. Awang Selamat juga menyifatkan gesaan Sultan Selangor agar bukan Islam tidak merujuk kalimah Allah sebagai Tuhan adalah amaran kedua yang dikeluarkan pada tahun ini dan mesej yang cuba disampaikan adalah jelas dan terang.
"Ia sangat bermakna untuk semua Muslim dan Awang berharap tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap titah Sultan demi menjaga keharmonian dalam negeri," katanya.
Awang juga memberi amaran supaya menghentikan sebarang provokasi melibatkan dalam isu kalimah Allah kerana kesabaran umat Islam juga mempunyai batasnya.
"Provokasi dijangka dalam pelbagai bentuk tetapi kesabaran umat Islam juga mempunyai batasnya.
"Awang berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas dan pencegahan kerana isu ini sudah menjadi isu keselamatan. Jangan tunggu sehingga ia terlambat,” katanya. Rabu lalu,
Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah dalam`Bible' dan penerbitan Herald versi Bahasa Melayu dihentikan serta merta. Baginda bertitah, ia bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di Selangor khususnya dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.
Sehubungan itu, baginda meminta rakyat Selangor supaya menghormati dan mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta undang-undang berhubung penggunaan kalimah Allah.
"Ini kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu (Esa) seperti yang terdapat di dalam surah Al-Ikhlas," titah baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais di sini.
Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menghalang Gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald. Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam adalah agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. - 17 November, 2013.(The Malaysian Insider).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 12.354 am on November 17,2013.
No comments:
Post a Comment