Saturday, December 7, 2013

Jangan biar GLC ambil keputusan sendiri

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kerajaan digesa tidak lagi membiarkan pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan budi bicara sendiri dalam melaksanakan agenda membangunkan sosioekonomi bumiputera di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani (gambar) berkata, sebaliknya kerajaan perlu mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai antara syarat perkhidmatan bagi mereka yang menjawat pengurusan tertinggi dan CEO di setiap GLC supaya agenda itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Kalau kita biarkan pengurusan tertinggi dan CEO GLC menggunakan budi bicara sendiri, maka akan berlaku kekeliruan dan masalah dalam melaksanakan agenda membangunkan sosioekonomi bumiputera. 

"Mereka mempunyai kontrak perkhidmatan dan sekiranya mahu bekerja lebih lama dalam sesebuah GLC, mereka kena memenuhi KPI tersebut. Kadang-kadang kita ambil mudah mengenai perkara ini.

"Perlu diingat, mereka ini adalah profesional yang tidak terlibat dengan politik. Kemungkinan mereka tidak faham soal melaksanakan agenda pembangunan sosioekonomi bumiputera," katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke bilik operasi Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.(Utusan online-Umno m2013.)

No comments: