Thursday, December 5, 2013

Sebagai pengganti dirinya selepas menolak tawaran jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Mohammad Kazim Elias pada sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi, Perak, semalam.

IPOH 5 Dis. - Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias telah mengemukakan tiga nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon menggantikannya setelah beliau menolak pelantikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, tiga nama calon yang dikemukakan itu merupakan sahabat beliau sendiri, bukan orang politik, dikenali ramai dan mempunyai ilmu agama yang tinggi.

Menurutnya, beliau mengemukakan nama-nama berkenaan ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada Isnin lalu, ketika membincangkan tentang tawaran sebagai ahli MT.

"Saya menyebut tiga nama sebagai calon untuk pilihan Perdana Menteri bagi menggantikan saya tetapi saya tidak dapat sebutkan (dedah) nama-nama mereka. Mereka ini bukanlah orang politik, tidak mempunyai parti, yang mana ini selari dengan kehendak Perdana Menteri sendiri yang mahukan orang dari luar UMNO. 

"Calon-calon ini sememangnya dikenali oleh Perdana Menteri. Mereka juga dikenali ramai, bukan berasal dari Perak dan mempunyai ilmu pengetahuan tinggi. Saya rasa lebih baik tak umumkan (nama calon), tengoklah selepas ini siapa yang menggantikan saya, kita tunggulah pengumuman Perdana Menteri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi, di sini hari ini. Dalam program ceramah agama di Taman Ria, Sungai Petani kelmarin, Ustaz Kazim mengumumkan keputusannya menolak pelantikan sebagai Ahli MT UMNO.

Menurutnya, beliau akan terus memainkan peranan sebagai pendakwah bebas dan tidak berhajat meneruskan perjuangannya melalui platform politik.

Sementara itu, Ustaz Kazim menegaskan keputusannya menolak tawaran Ahli MT UMNO adalah muktamad. "Saya tidak akan berpatah balik.

Saya selesa dengan kerja-kerja dakwah yang dijalankan sekarang, sebab saya dapat terus dengan masyarakat kerana saya tiada parti (politik).

"Namun, saya sedia membantu Perdana Menteri demi perpaduan orang Melayu dan agama. Jika saya tiada komitmen terhadap pusat pendidikan (di Manjoi) ini, saya mungkin terima (tawaran Ahli MT)," katanya. 

Ustaz Kazim menambah, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri tempoh hari, beliau menyatakan kesediaan untuk menerima tawaran jika UMNO menubuhkan sebuah Majlis Ulama Profesional atau Majlis Perunding Ulama, yang ahlinya terdiri daripada ulama di luar UMNO.

Menurutnya, majlis ulama itu bakal berperanan memberi nasihat dan rujukan kepada UMNO. "Majlis ulama ini bukan dianggotai oleh ulama UMNO sebab jika ada nama UMNO, keputusan yang dibuat kelak mungkin akan memikirkan baik atau buruk kepada parti itu.

"Saya bersetuju menerimanya jika UMNO menubuhkan majlis ulama yang berkecuali. Perdana Menteri pun bersetuju dengan cadangan itu dan akan membawanya dalam mesyuarat MT," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim memohon maaf kerana mendahului Perdana Menteri apabila beliau mengumumkan lebih awal keputusannya menolak tawaran sebagai Ahli MT.

"Sepatutnya Perdana Menteri yang mengumumkan keputusan ini (menolak tawaran sebagai Ahli MT), sebab beliau yang melantik saya.

"Namun, saya mendahului Datuk Seri, jadi saya memohon maaf. Saya terpaksa membuat pengumuman lebih awal disebabkan tekanan perasaan kuat yang dialami oleh keluarga saya. Jadi saya mahu meredakan dengan cepat perkara ini dengan membuat pengumuman lebih awal," katanya.( Utusan online-Umno-2013).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 7.52 am on Disember  06,2013.

No comments: