Thursday, January 2, 2014

Bantahan selari titah Sultan Serlngor

Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR 2 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bantahan oleh UMNO Selangor dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kenyataan Paderi Lawrence Andrew adalah selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, titah baginda selaku ketua negeri adalah jelas mahukan rakyat negeri itu akur kepada larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Sambil mempertahankan bantahan berkenaan, beliau berkata, tindakan itu merupakan pertimbangan pihak terbabit dalam mendukung titah baginda. ]

"Bantahan itu adalah pertimbangan yang mereka buat sendiri. Ini berlaku di Selangor kerana di negeri itu ada undang-undang dan titah yang dikeluarkan Sultan Selangor.

"Sebagai rakyat Selangor, mereka mendukung titah baginda. Jadi tidak boleh nak kata mereka (yang membantah) bercanggah atau bertentangan tetapi selari dengan apa yang dituntut oleh ketua negeri (Sultan Selangor)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau sesi pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Setapak, di sini hari ini.

Beberapa pihak termasuk UMNO Selangor membuat laporan polis mahu Andrew diambil tindakan undang-undang kerana menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan gereja Katolik di Selangor tetap akan menggunakan kalimah Allah dan bahasa Melayu dalam perhimpunan mingguan.

UMNO Selangor turut memberi tempoh seminggu kepada Andrew supaya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada umat Islam.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, walaupun persoalan agama khususnya Islam tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa berhubung Islam turut terletak di bawah sultan dan rakyat tidak boleh mempertikaikan perkara berkenaan.

"Oleh itu, saya tak fikir langkah UMNO Selangor dan NGO itu bercanggah atau bertentangan. Itu keputusan mereka," tegasnya.

Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa meninjau sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya serta Sekolah Menengah Kebangsaan St. Gabriel dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Pandan di ibu negara.(Utusan online-Dalam Negeri0.Posted by ab nmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 15 48 hrs on January 03,2014.

No comments: