Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
Hasan Ali (kiri) bercakap kepada pemberita berhubung cadangan tiga wakil rakyat DAP yang mahu meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta, Shamsuddin Moner. - MINGGUAN/SAFIYANA SALIM
Kuala Lumpur, 4 Jan. - Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 disifatkan amat berbahaya kerana bakal mengundang implikasi terburuk kepada negara sekali gus membawa perselisihan antara agama.
Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali walau bagaimanapun secara sinis berkata, mereka 'dialu-alukan' untuk berbuat demikian supaya umat Islam boleh menilai pendirian Kerajaan Negeri Selangor yang dikuasai oleh pakatan pembangkang.
Beliau turut mempersoalkan asas pindaan itu sedangkan enakmen berkenaan tidak terpesong daripada Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu yang memayungi agama Islam selain disokong oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Mereka boleh bawa untuk pindaan. Bagi saya, ini adalah peluang paling sahih untuk dipandang oleh rakyat dengan mata, didengar dengan telinga, dibaca dengan perkataan pada saranan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) nanti dan prinsip keputusan yang akan diambil berhubung pindaan itu.
"Sekiranya diluluskan, bayangkan kesannya bukan di Selangor sahaja malah negeri-negeri lain termasuk implikasi kepada peruntukan Perlembagaan selain menimbulkan huru-hara di negara ini kerana mereka akan membentangkan rang undang-undang berbahaya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Jati yang juga Pengerusi Yayasan Murni Akidah, Datuk Dr. Aidit Ghazali dan Pengurus Besar (operasi), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Shamsuddin Moner.
Beliau mengulas cadangan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mahu enakmen berkenaan dipinda susulan tindakan Jabatan Agama Islam (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia, Jalan Gasing, Petaling Jaya, kelmarin.
Malah mereka turut menyifatkan tindakan JAIS itu sebagai kasar dan mahu Subseksyen 9 Enakmen 1988 itu dikaji semula.
Dalam pada itu, Hasan berkata, masyarakat Islam perlu sedar sekiranya tidak ada sebuah peraturan yang menyekat penyebaran agama bukan Islam, Malaysia akan berdepan dengan gerakan kristianisasi terbesar sebagaimana di Indonesia.
Jelasnya, desakan kepada pindaan itu dipercayai akan dibuat mengikut 'selera' puak-puak tertentu yang akan memasukkan elemen hak asasi manusia sebagai asas penting dalam enakmen tersebut.
"Jika dipinda ikut selera mereka, saya merasakan negara ini akan ada perselisihan agama sehingga berlaku pertumpahan darah," katanya.
Beliau yang turut mempertahankan tindakan JAIS itu berkata, dalam prosedur siasatan, badan penguat kuasa berkenaan tidak perlu membuat laporan kepada Exco Kerajaan Negeri mahu pun sesiapa sahaja termasuk Sultan Selangor.
"Saya memberi sokongan 100 peratus kepada JAIS kerana saya tahu tindakan mereka selari dengan peruntukan sedia ada.
"Jika ada orang yang menyifatkan tindakan JAIS itu tidak adil dan terlalu agresif, orang itu perlu berjumpa dengan Penasihat Undang-Undang JAIS sebelum membuat sebarang kenyataan," katanya.(Utusan online-politik0.Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.21 am on Januray 06,2014.
No comments:
Post a Comment