Sunday, January 19, 2014

Fikirkan Masa Depan Anak Melayu

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

RAZALI Ibrahim beramah mesra dengan Aisah Senin (dua dari kanan) sewaktu menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan golongan memerlukan di Taman Bunga Raya, Johor, semalam. - utusan/Ishak Rahmad 

MUAR 19 Jan. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor perlu memikirkan nasib dan masa depan anak muda Melayu miskin dalam kemahiran vokasional sebelum merancang menutup semua pusat latihan GiatMara di negeri itu akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, penutupan itu tanpa menyediakan alternatif lain dalam bidang kemahiran adalah tindakan kejam dan menindas anak bangsa sendiri.

"Tindakan kerajaan PKR Selangor ini seperti menutup peluang atau sumber ilmu. Ilmu seharusnya disebar atau dikembangkan dan bukan menutup GiatMara dengan memberi alasan tidak masuk akal hanya kerana mahu menghalalkan perbuatan itu.

"Sepatutnya sebelum sesuatu tindakan dilakukan mereka perlu berbincang dengan Mara. Dalam hal ini segala kepentingan politik perlu diketepikan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada warga emas dan keluarga miskin di Taman Bunga Raya di sini hari ini.

Selangor memberi tempoh kepada pengurusan Pusat GiatMara di Taman Selayang Baru untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Razali berkata, selain cara halus itu untuk menghapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu, penutupannya juga kerana pusat latihan berkenaan diusahakan Mara yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Pusat.

Beliau berkata, rakyat Selangor perlu menghakimi tindak tanduk kerajaan negeri yang tidak profesional serta bermotifkan politik dan jelas wujud 'tangan ghaib' di belakangnya dalam membuat percaturan bagi keputusan tersebut.

Mengenai permohonan maaf Pengerusi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Phang Ah Ngang atas kesalahannya meminta seorang guru Cina mualaf membuka tudung baru-baru ini, Razali berkata, hukuman tegas perlu dikenakan kerana permohonan maaf tidak menjamin perkara sedemikian atau perbuatan menyentuh sensitiviti agama tidak berulang.

"Perbuatan biadab dan tidak menghormati sensitiviti beragama seperti itu kini seolah-olah mengajar orang Melayu dan umat Islam untuk mempersenda dan menghina agama lain. Ini seperti sudah menjadi kebiasaan tanpa memikirkan perasaan orang Melayu dan umat Islam yang selama ini cukup bertolak-ansur," katanya lagi.(Utusan -online-Da;am Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.02 am on January 20,2014.

No comments: