rokiah.abdullah@utusan.com.my
IPOH 6 Jan. - Usaha peserta perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan sangat berbahaya terhadap kesatuan ummah dan golongan 'bughah' iaitu penderhaka kepada pemerintah yang adil boleh diperangi setelah diajak berdamai.
![]() |
Tan Sri Harussani Zakaria |
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perkataan 'bughah' dari sudut bahasa juga membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad serta kezaliman dan ketetapan itu dibuat para ulama seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al-Fatawa al-Kubra karangan Ibn Taimiyyah. T
Tambah Harussani, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati sedangkan negara ini mempunyai instrumen yang diperakui untuk tujuan tersebut melalui sistem pilihan raya selain Dewan Rakyat, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau mahkamah.
"Jadi, jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, saya fikir itu bukan cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela melihat seperti apa yang berlaku di Mesir apabila kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan melalui demonstrasi menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
"Lebih merisaukan apabila demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat di negara ini. Maka keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat seperti yang dinikmati sekarang tidak akan berlaku.
"Sedangkan seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman damai telah disediakan secara terhormat dan demokratik seperti yang kita lalui sekarang apabila pemerintahan negeri-negeri terbahagi sama ada di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu bagi menjelaskan laporan dua akhbar berbahasa Melayu yang memetik kenyataan beliau bahawa peserta perhimpunan haram sebagai 'bughah' iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil.
Pandangan tersebut telah menimbulkan pelbagai percanggahan sehingga Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan Ketua Penerangan Pas negeri, Misbahul Munir Masduki menuntut penjelasan daripada Harussani baru-baru ini.
Raja Ahmad Iskandar mendakwa, istilah 'bughah' tidak wajar digunakan kerana membawa maksud peserta perhimpunan haram pada malam tahun baharu di ibu negara baru-baru itu boleh dibunuh kerana 'dihalalkan darahnya' sekali gus menuntut Harussani menarik balik kata-katanya sekiranya benar beliau bermaksud sedemikian.
Dalam pada itu, Harussani berkata, beliau juga amat gusar apabila melihat demonstrasi haram itu dilakukan dalam skala besar serta majoriti pesertanya adalah orang Melayu Islam kerana hanya menghasilkan kemudaratan kepada pihak-pihak terlibat.
"Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam supaya berhati-hati daripada terjebak menjadi 'ayam laga' kepada pihak-pihak yang berkepentingan kerana mereka ini sangat iri hati jika umat Islam bersatu dan bersepakat.
"Sekiranya berlaku percanggahan pandangan dalam isu ini, hal itu merupakan pemahaman dan penelitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di negara ini.
"Saya tiada niat lain kecuali mencari keredhaan Allah dan mahu melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran semasa ketika ini," katanya.( Utusna online-Dalam Negeri). Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.09 am on Januray 07,2014.
No comments:
Post a Comment