Friday, January 10, 2014

Kiriman wanag cecxah RM12.1 billion

Oleh NUR HANANI AZMAN
 ekonomi@utusan.com.my
Ramasamy K.Veeran
KUALA LUMPUR 9 Jan. - Nilai penghantaran wang ke luar negara oleh industri perniagaan perkhidmatan wang dianggar mencecah RM12.1 bilion pada 2013, sementara perniagaan pengurupan wang berada pada purata RM40 bilion bagi tempoh 2011-2013.

Presiden Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (PPPWM), Ramasamy K. Veeran berkata, jumlah kiriman wang itu meningkat kepada RM10.8 bilion pada 2012 berbanding RM7.89 bilion pada 2011.

"Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan pemberi perkhidmatan bukan bank seperti pengurup wang yang menjadikan perkhidmatan pengiriman wang kini boleh dilakukan dengan lebih mudah.

"Antara negara utama penerima wang pengiriman adalah Bangladesh, Indonesia, Nepal, Filipina dan lain-lain," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran PPPWM di sini hari ini.

Majlis tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.

PPPWM ditubuhkan pada 22 Ogos 2013 yang merupakan persatuan nasional untuk semua pemegang lesen dan ejen sah perniagaan perkhidmatan wang dikawal di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011. 

Sehingga 3 Januari 2014, seramai 412 pemegang lesen telah mendaftar sebagai ahli.

Ramasamy berkata, PPPWM bertujuan memodenkan dan meningkatkan integriti dalam industri perkhidmatan wang kerana jika dibandingkan dengan industri kewangan yang sudah mantap, perkhidmatan wang antara industri baharu perlu diberi perhatian.

Ujarnya, kod tatalaku antara aspek perlu diberi perhatian yang buat masa ini dalam proses akhir penggubalan dan dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang suku kedua 2014.

Sementara itu, Muhammad dalam ucapan pelancaran berkata, BNM akan terus memantau industri perkhidmatan kewangan dengan teliti dan mengharapkan PPPWM yang baru dilancarkan dapat menghapuskan "kambing hitam" dalam industri berkenaan.

Katanya, PPPWM harus mempertimbangkan untuk melaksanakan proses pensijilan atau kelayakan pada masa akan datang seperti mengendalikan peperiksaan kelayakan kemasukan bagi anggota-anggotanya.

"Kita berharap persatuan ini akan memainkan peranan proaktif untuk meningkatkan imej peserta industri melalui penguatkuasaan tata kelakuan dan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk membantu membanteras pemindahan wang dan kegiatan haram.

"Kita ingin membina sebuah industri perniagaan perkhidmatan wang yang moden, berdaya tahan, lebih progresif serta responsif terhadap tuntutan perubahan semasa dan masa depan yang akan melonjakkan imej industri ini dan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

"Oleh itu, kami meletakkan harapan tinggi kepada PPPWM untuk memainkan peranan penting dengan menanamkan tingkah laku profesional dan amalan perniagaan yang baik dalam kalangan peserta industri," katanya.(Utuisan online-ekonomi).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.aat 1431 hrs on January 10,2014.

No comments: