Oleh Herman Hamid
sukan@utusan.com.my
RIBUAN penyokong Pahang menyerbu kaunter jualan tiket di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam untuk mendapatkan tiket perlawanan Piala Sumbangsih yang akan berlangsung malam ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Bahang Liga Malaysia (Liga-M) musim ini jelas dirasai dalam kalangan penyokong Tok Gajah yang seawal pukul 7 pagi mula memenuhi pekarangan Stadium Darul Makmur semalam bagi memastikan tidak ketinggalan mendapatkan tiket perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah antara Pahang menentang Lions XII.
Biar pun keadaan sesak sebaik kaunter dibuka pada pukul 10 pagi, namun keseluruhannya proses penjualan tiket di Stadium Darul Makmur dan Stadium Temerloh berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzemi Ibrahim berkata, sambutan hangat penyokong Tok Gajah itu jelas satu petanda baik dalam usaha semua pihak untuk melihat bola sepak tempatan menjadi fenomena dalam kalangan rakyat.
Katanya, biar pun merupakan aksi sulung Liga Super, namun keterujaan peminat kepada pasukan Tok Gajah yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia musim lalu nyata suatu khabar gembira yang pasti menyemarakkan semangat pemain untuk memberi aksi terbaik malam ini.
''Saya harap sambutan penyokong yang diberikan ini akan berterusan sepanjang musim 2014, bukan sahaja peminat di Pahang malah di seluruh negara.
''Kalau lihat sambutan peminat yang datang seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan tiket, saya anggap ini adalah fenomena baru kepada bola sepak kita.
''Sudah tentu kita mahu senario positif ini berterusan dan pada masa sama penyokong kita menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam apa jua keadaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengenai jualan tiket, Fuzemi berkata, penyokong Tok Gajah masih boleh mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan malam ini di kaunter Stadium Darul Makmur mulai pukul 10 pagi.
''Tiket perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah masih ada untuk jualan esok (hari ini). Cuma tiket untuk tempat duduk utama berharga RM25 telah habis dijual.
''Keseluruhan kita peruntukkan 31,000 keping tiket mengikut kapasiti tempat duduk Stadium Darul Makmur. Walaupun sambutan tinggi, namun kita perlu patuhi aspek keselamatan selain untuk keselesaan penyokong sendiri," jelasnya.(Utusan online-Sukan tempetan0.Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.12 am on January 17,2014.

No comments:
Post a Comment