Friday, February 21, 2014

BN kerja keras,beri sokongan tinggi kepada Mei Fun-Najib

 NAJIB Tun Razak ceria sambil diperhatikan oleh Muhyiddin Yassin (kiri) dan beberapa Ahli Tertinggi UMNO pada sidang akhbar selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR 

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sokongan tinggi akan diberikan kepada Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun yang dipilih sebagai calon bagi merampas kerusi itu walaupun beliau seorang calon bukan pilihan atau 'under dog'.

Menurut beliau, segala cabaran dalam menghadapi PRK itu akan cuba ditentang melalui apa jua cara dengan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Kita akan sokong (Mei Fun sebagai calon) dan doakan beliau yang terbaik dan kita akan cuba sehabis baik walaupun calon kali ini 'under dog'.

"Walau bagaimanapun BN akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan dan akan menghadapi apa jua cabaran," katanya. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mei Fun dipilih sebagai calon BN bagi menghadapi PRK DUN Kajang untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding selepas kerusi itu dikosongkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang itu.

Pemilihan Mei Fun, 50, yang juga bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar mengenai PRK berkenaan di Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, Mei Fun merupakan calon paling sesuai untuk menggalas cabaran BN di kerusi itu berdasarkan kewibawaan dan pengalamannya termasuk pernah berkhidmat dalam kerajaan.

Mei Fun mempunyai rekod dan pengalaman politik yang luas dengan pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Wanita MCA, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita MCA dan timbalan menteri disandangnya pada April 2010 bagi menepati janjinya untuk berbuat demikian jika Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dipilih sebagai Presiden MCA pada pemilihan parti masa itu.

Mei Fun bagaimanapun membuat kemunculan semula apabila bertanding pada pemilihan MCA penghujung tahun lalu dan memenangi jawatan Naib Presiden Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Chin Cheh menang dengan majoriti 6,824 dalam pertembungan enam penjuru, melibatkan calon BN, Berjasa dan tiga calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mac ini sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 23 Mac.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com at 10.55 am on February 22,2014.

No comments: