Saturday, February 1, 2014

Khalid nafi arah Faekah kritik Anwar

SHAH ALAM 1 Feb. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau berhubung tindakan bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin yang membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kontroversi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Sebaliknya, Abdul Khalid menegaskan tindakan Faekah yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) membuat kenyataan melalui akaun Twitter peribadi adalah tidak mewakili beliau secara rasmi.

"Tidak...(kenyataan Faekah dalam Twitter) bukan mewakili saya. Yang mewakili saya ialah kenyataan akhbar rasmi (dari Pejabat Menteri Besar).

"SMS (khidmat pesanan ringkas) dan komunikasi menerusi internet (media sosial) bukan kenyataan rasmi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama penyokong bola sepak Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Abdul Khalid mengulas kenyataan Faekah menerusi akaun Twitternya kelmarin yang seolah-olah membidas Anwar susulan perkembangan kerusi DUN Kajang yang dikosongkan PKR baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, Faekah menasihatkan ahli politik di luar Selangor supaya belajar perlembagaan negeri termasuk proses serta prosedurnya selain tidak menghina Sultan Selangor dan jangan tidak terlalu yakin dengan diri sendiri.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid mempertahankan tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang sehingga pilihan raya kecil terpaksa diadakan meskipun pelbagai pihak membantah tindakan tersebut selain menyifatkannya sebagai pembaziran dana awam.

Beliau memberikan alasan, pandangan tersebut hanya mewakili pihak tertentu dan bukannya mewakili keseluruhan rakyat.

"Ada pengundi kecewa dengan perkara itu, ada yang suka ia dilakukan. Ini sebahagian daripada demokrasi, memang untuk adakan pilihan raya kecil itu bukan murah, tapi demokrasi juga bukan murah," ujarnya.

No comments: