Sunday, February 2, 2014

Peluang cerah untuk bebas-SukaGuam

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my 
Khairul Anwar
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal dilihat mempunyai peluang cerah untuk bebas daripada pertuduhan mendera anak mereka oleh pihak berkuasa Sweden.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, keyakinan itu berdasarkan hujah yang dikemukakan dalam beberapa kes yang berlaku hampir sama di Norway dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Menurutnya, kes yang menimpa Azizul Raheem dan Shalwati itu telah membuka mata pihak berkuasa Sweden dan Jabatan Kehakiman di sana agar mengambil kira faktor perbezaan agama dan budaya dalam mendidik anak-anak terutamanya membabitkan warga asing.

"Malah, ini juga tidak konsisten dengan deklarasi atau Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu anak-anak harus tinggal bersama ibu bapa masing-masing.

"Justeru, peluang untuk pasangan itu bebas sangat cerah kerana kira-kira seminggu berada di sana, kami telah bertemu, melobi dan bertukar-tukar pandangan dengan semua pihak berkepentingan tentang kes terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, anak-anak pasangan terbabit iaitu Aishah, 14; Ammar, 12; Adam, 11; dan Arif, 7 selamat tiba di tanah air diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara mara.

Empat beradik itu kemudian mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum berangkat pulang ke Kelantan untuk tinggal dengan ibu bapa saudara mereka.
Tambah Khairul Anwar, SukaGuam akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan Wisma Putra untuk menyelesaikan perkara terbabit termasuk berkomunikasi dengan peguam bela pasangan tersebut di Sweden.
Beliau turut percaya kejayaan membawa pulang empat beradik tersebut atas faktor hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dengan Sweden.

"Sepanjang berada di sana, rata-rata masyarakat Sweden menyanjung tinggi sikap wasatiyyah atau kesederhanaan yang diamalkan Perdana Menteri dan kerajaan.

"Saya fikir ada hikmah yang menimpa Azizul Raheem dan isteri, kerana ini adalah satu jihad kepada umat Islam untuk masyarakat Eropah menerima perbezaan agama dan budaya," ujarnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 10.42 ak on February 2014.

No comments: