KUALA LUMPUR 12 Feb. - Dewan Pemuda Pas Pusat tidak tahu menahu mengenai dakwaan Lim Guan Eng berhubung kesediaan Pas menawarkan kawalan keselamatan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menerusi sukarelawan daripada Unit Amal parti itu.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengenai perkara itu sama ada daripada pemimpin DAP atau Pas sendiri.
"Saya tidak dengar pun mengenai perkara ini. Saya hanya tahu selepas awak tanya saya.
"Unit Amal terletak di bawah Dewan Pemuda Pas tetapi setakat ini, tidak ada permohonan dibuat kepada kita. Kalau ada permohonan, kita akan pertimbangkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kesediaan Pas menyediakan pengawal peribadi untuk melindungi Teresa yang mendakwa menerima ancaman berikutan klip video, ONEderfull Malaysia CNY 2014.
Guan Eng yang jawatan Setiausaha Agung DAP belum disahkan baru-baru ini dilaporkan berkata, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bersetuju untuk menggerakkan sukarelawan Unit Amal Pas sebagai pengawal peribadi kepada Teresa.
Tawaran Pas itu dikecam oleh beberapa pihak kerana memperlihatkan parti itu terlalu bergantung kepada DAP untuk memastikan kelangsungan politiknya.
Ketika ditanya adakah kesediaan Pas menjaga keselamatan Teresa itu menunjukkan parti itu rela menjadi 'pak sanggup' kepada DAP, Suhaizan menegaskan ia tidak timbul kerana belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.
"Kita belum setuju kerana kita belum terima permohonan. Kalau terima permohonan, kita akan tengok dahulu. Tidak semestinya kita terima terus sebarang permohonan.
"Sebenarnya, banyak pihak minta perkhidmatan sukarelawan Unit Amal Pas termasuk jika berlaku bencana alam seperti banjir dan ribut," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan beliau bakal menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya menang di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Suhaizat berkata, kedudukan jawatan itu belum dibincangkan setakat ini.
"Kita akan sama-sama turun membantu jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di PRK DUN Kajang.
"Kita ikut ketetapan Presiden Pas iaitu belum ada sebarang perbincangan mengenai jawatan Menteri Besar Selangor tetapi kita fokus kepada pilih raya dahulu," katanya.( Utusan online-politik).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 10.32 am on February 13,2014./
No comments:
Post a Comment