Friday, March 7, 2014

Sindikit nikah EKSPRES

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED 
pengarang@utusan.com.my 


KUALA LUMPUR 7 Mac - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendedahkan terdapat segelintir pengamal undang-undang di negara ini terlibat dalam sindiket 'nikah ekspres' di negara jiran sehingga mengaut keuntungan ribuan ringgit.

Presidennya, Musa Awang berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan pihaknya berdasarkan maklumat tertentu. Jelasnya, sindiket tersebut menjalankan perkhidmatan nikah di luar negara dengan bayaran serendah RM2,500 berserta pakej penginapan.

"Nikah ekspres di luar negara ini dilakukan untuk mengelak kawalan-kawalan perundangan terutama dalam hal berkaitan poligami atau masalah keizinan wali.

"Perkara ini sudah lama berlaku tetapi sejak akhir-akhir ini, mereka semakin terbuka sehingga berani mengiklankan perkhidmatan di internet, membuka syarikat dan laman web. Kita kesan ada segelintir (peguam) terlibat tetapi masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Perhimpunan Peguam Syarie Muda 2014 yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Musa memberitahu, pihaknya sedang mengumpul bukti untuk tin dakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung penubuhan syarikat yang menjalankan nikah ekspres berkenaan.

"Kita nak nasihatkan pasangan-pasangan yang berdepan masalah pernikahan supaya mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya. Dalam undang-undang kita ada penyelesaian untuk membantu mereka ini.

"Apabila nikah tanpa kebenaran di luar negara, banyak beri kesan negatif yang ditanggung pasangan terbabit terutama dari segi pendaftaran nikah, pengesahan nikah, sah taraf anak dan apabila meninggal, berdepan pula isu faraid, harta sepencarian," jelasnya.

Beliau turut meminta kerajaan mengkaji semula hukuman atau mengenakan hukuman tegas kepada mereka yang terlibat dengan sindiket nikah ekspres itu.

Sementara itu, beliau menunjukkan contoh kad perniagaan sebuah 'syarikat' yang menjalankan sindiket nikah ekspres, khususnya berkaitan pasangan yang berdepan masalah poligami, halangan pernikahan dan mengandung tanpa surat nikah.( Urtusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya .blogspot.com.at 9.43 am on March 08,2014.

No comments: