Monday, April 21, 2014

14 Laporan polis Surendran hina mahkamah

KUALA LUMPUR 21 April - Sebanyak 14 laporan polis dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Rakyat Marhein (Geram) di seluruh negara terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran yang mempersoalkan kredibiliti sistem kehakiman negara, baru-baru ini. 

Kesemua laporan itu dibuat serentak oleh wakil-wakil Geram di seluruh negara, pada pukul 11.30 pagi ini, agar tindakan tegas dikenakan terhadap Surendran.

Di ibu negara, laporan polis dibuat oleh Presiden Geram, Norafiq Mohd. Noor di Balai Polis Setapak. 

Beliau berkata, pihaknya menggesa siasatan segera dijalankan ke atas pemimpin pembangkang itu, berikutan tindakannya yang memperlekehkan sistem penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Jika satu masa dahulu, mereka boleh menggunakan undang-undang terhadap pihak yang mempertikaikan kemenangan kes saman Anwar ke atas Utusan Malaysia, jadi kali ini kami melihat Surend­ran sebagai seorang yang hipokrit kerana beliau turut memperlekeh dan mempersoalkan keputusan pengadilan mahkamah," katanya di sini hari ini.

Sementara itu di KUANTAN, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini oleh Penyelaras Geram negeri, Ezad Zainal.

Ezad ketika ditemui berkata, laporan itu dibuat supaya pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya ke atas Surendran kerana didapati cuba menghasut rakyat untuk mempersoalkan kredibiliti sistem kehakiman negara.

"Kita boleh lihat sikap pilih kasih beliau apabila tidak mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes sama yang membebaskan Anwar.

"Kenapa apabila keputusan ti­dak memihak kepada Anwar di Mahkamah Rayuan barulah beliau hendak persoalkan, perkara ini tidak wajar dan pihak polis perlu ambil tindakan segera," katanya.

Di SEREMBAN, Geram mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap Surendran yang juga Naib Presiden PKR itu ekoran kenyataannya yang sengaja mencabar institusi kehakiman negara.

Wakil Geram negeri, Rommi Suhendra Norsal berkata, sebagai seorang ahli Parlimen, beliau sepatutnya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim apatah lagi Surendan adalah seorang pengamal undang-undang.

"Dalam kenyataan media yang dibuat oleh Surendran, ia jelas sekali bertujuan mengkritik dengan niat jahat dan curang menghina integriti serta kebebasan panel hakim selain badan kehakiman negara.

"Jadi kenyataan seperti ini, sebenarnya mengajak rakyat untuk sama-sama mempertikai serta memperlekeh selain menghina kredibiliti badan kehakiman di negara ini," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, dekat Seremban 2, di sini hari ini.

Di JOHOR BHARU, kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang berniat menghasut orang ramai untuk tidak menghormati mahkamah.

Wakil Geram negeri, Anizam Wan Hassan berkata, mana-mana individu yang mempertikaikan hu­jah penghakiman dibuat pihak Mahkamah Rayuan berhubung kes liwat Anwar mempunyai niat tidak baik.

"Oleh itu, tindakan Surendran yang mempertikai hujah dibuat pihak mahkamah, berniat menghasut dan menghina institusi kehakiman negara.

"Kami menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu seperti itu kerana boleh menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru, di sini hari ini.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar N inggal.blogspot.com.at10.36 am on April 22,2014.

No comments: