Wednesday, April 30, 2014

Catuan bekalan air di Selangor dan Kuala Lum pur berakhir

KANGAR 30 April - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur akan pulih seperti sediakala esok apabila catuan ditamatkan hari ini. 

Pengerusinya, Datuk Ismail Kasim berkata, catuan bekalan selama lebih dua bulan itu akan berakhir hari ini dan pengguna boleh menikmati bekalan seperti biasa mulai esok.

Katanya, penamatan catuan itu susulan penarikan semula pengagihan air berjadual peringkat satu, tiga dan empat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkuat kuasa hari ini.

Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Ismail berkata, keputusan itu susulan permohonan kerajaan negeri Selangor supaya pengagihan air berjadual itu ditarik balik.

\Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang berada di sini untuk menghadiri penggal kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis.

Persidangan dua hari itu berakhir hari ini. SPAN juga menerima permohonan penarikan balik semua peringkat pengagihan air berjadual dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) selaku operator agihan susulan permohonan penarikan balik pengagihan berjadual itu oleh kerajaan Selangor itu, katanya.

Menurut Ismail, kerajaan negeri Selangor juga memaklumkan jika paras Empangan Sungai Selangor susut semula hingga ke tahap kritikal termasuk apabila tiba musim kering mulai Jun hingga Oktober ini, kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula langkah mengurangkan pelepasan air dari empangan yang menjurus kepada catuan.

Pelaksanaan pengagihan air berjadual peringkat satu di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 27 Feb lepas berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat paras ammonia dari sumber air mentah melebihi paras yang dibenarkan.

Keadaan itu menyebabkan SPAN meluluskan Pengagihan Air Berjadual dua, tiga dan empat, masing-masing bermula 2 Mac, 10 Mac dan 4 April 2014.

Pengagihan air berjadual peringkat dua hingga empat itu diambil susulan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk mengurangkan pelepasan dari Empangan Sungai Selangor secara berperingkat sebanyak 200, 500 dan 1,000 juta liter sehari (JLH) selain pelepasan dari Empangan Klang Gates sebanyak 30 JLH.

Ismail berkata, tindakan memberhentikan catuan air itu hasil peningkatan paras dan simpanan air di Empangan Sungai Selangor kepada 40.23 peratus pada Selasa lepas berbanding 36.39 peratus pada 29 Mac ekoran hujan sekitar akhir Mac.

Menurutnya, sebarang keputusan untuk melanjutkan pengagihan air berjadual dibuat bergantung kepada paras empangan dan kecukupan kapasiti air mentah.

Bagaimanapun, hujan lebat sejak kebelakangan ini meningkatkan paras sungai di lima loji rawatan air utama di Selangor yang memungkinkan operator rawatan mengeluarkan air terawat lebih banyak berbanding catuan, katanya.

Ismail berkata, SPAN juga mendapat jaminan kerajaan negeri Selangor bahawa penamatan catuan air tidak akan menjejaskan usaha meningkatkan paras empangan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata terowong sepanjang lebih 70 kilometer (km) menghubungkan Sungai Semantan di Pahang ke Langat, Selangor yang membekalkan air ke Projek Loji Rawatan Air Langat 2, sudah siap dibina.

Katanya projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang ditandatangani oleh Selangor dan Pahang pada November 2007 adalah inisiatif untuk mengatasi krisis air khususnya di Selangor dengan sumber air dari Pahang. - BERNAMA(Utusan online-Berita terkini).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1646 hrs on April 30,2014.

No comments: