Friday, April 25, 2014

PAS tidak perlu "restu" orang bukan Islam

KUALA LUMPUR 24 April - Pas tidak perlu meminta 'restu' orang bukan Islam termasuk sekutu-sekutunya dalam pembangkang sebelum melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, penganut-penganut agama lain tidak boleh campur tangan kerana pelaksanaan hukum hudud adalah urusan agama Islam.

Menurut beliau, mereka seharusnya sedar umat Islam di negara ini tidak mencampuri urusan agama lain atas dasar menghormati hak kebebasan beragama.

“Sama ada Pas hendak beri penjelasan atau tidak, itu soal nombor dua. Yang penting, orang bukan Islam tidak boleh masuk campur.

“Kalau orang bukan Islam boleh memperjuangkan hak mereka, umat Islam pun berhak memperjuangkan hukum hudud," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyatakan, tiada kefahaman yang jelas tentang hukum hudud menjadi salah satu punca pelaksanaan undang-undang itu di negeri berkenaan mendapat tentangan pelbagai pihak terutama orang bukan Islam.

Aminuddin menambah, Pas juga wajar meninggalkan sekutu-sekutunya dalam pembangkang sekiranya ahli-ahli Parlimen DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beragama Islam tidak menyokong usul rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat memberitahu, orang bukan Islam bersikap prejudis terhadap hukum hudud kerana mereka tidak menerima gambaran sebenar tentang pelaksanaannya. 

Beliau berpandangan, Pas sendiri telah mencetuskan ‘renjatan’ dalam kalangan bukan Islam apabila parti itu bertekad untuk melaksanakan hukum hudud di negeri-negeri yang dikuasai.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.45am on April 26,2014.

No comments: