KUALA LUMPUR 1 April - Status perkahwinan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dijangka diketahui pada 12 Jun ini selepas Jawatankuasa Pendamai memberikan laporan kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Jawatankuasa yang terdiri daripada seorang pengerusi (pegawai agama) dan wakil dari setiap pihak ditubuhkan bagi membantu pasangan itu mencapai sebarang penyelesaian.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Dr. Mohd. Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir, 35, kepada media selepas sebutan kes itu di kamar Hakim Syarie, Ab. Malek Awang di sini hari ini.
Nurul Izzah, 34, diwakili peguam, Normawaddah Ramli.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah bapa saudara Nurul Izzah, Rosli Ibrahim yang merupakan wakil pihak anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawatankuasa tersebut.
Bagaimanapun, Raja Ahmad Shahrir masih belum melantik wakil.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April ini bagi suami Nurul Izzah itu memberikan pengesahan mengenai lantikan wakil untuk Jawatankuasa Pendamai itu.
Penubuhan Jawatankuasa Pendamai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47(5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Menurut akta tersebut, jawatankuasa berkenaan diberi masa sehingga enam bulan bagi membantu pasangan untuk mencapai sebarang penyelesaian.
Sekiranya jawatankuasa tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan atau pasangan terbabit enggan meneruskan perkahwinan mereka, mahkamah perlu menasihati si suami untuk melafazkan talak.
Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir pada 8 Januari lalu itu dengan alasan, tiada lagi persefahaman dan rasa kasih sayang (tiada mawaddah dan rahmah).
Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5.
Sementara itu, selepas tamat prosiding, Nurul Izzah ketika meninggalkan pekarangan mahkamah hanya meminta media agar menghormati privasi dirinya.
Raja Ahmad Shahrir pula enggan memberikan sebarang komen.(Utusna online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya at 10.14 am on March 02,2014.
No comments:
Post a Comment