Sunday, May 18, 2014

Calon BN ada kelebihan-Khairy

Oleh AZHARI ZAINOODDIN 
utusanpenang@utusan.com.my 

Khairy Jamaluddin
PULAU PINANG 18 Mei - Pemilihan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan disifatkan sebagai tepat dan paling sesuai.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, meskipun tewas dalam pilihan raya umum lalu, Siew Keong memiliki pengalaman luas dalam politik untuk ditawarkan kepada pengundi di kawasan berkenaan.

"Sebagai anak tempatan sudah tentu beliau dapat memahami dengan lebih mendalam terhadap masalah rakyat di kawasan berkenaan dan pengalamannya sebagai timbalan menteri juga sudah pasti akan banyak membantu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Siew Keong sebagai calon BN bagi bertanding merebut Kerusi Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini.

PRK berkenaan diadakan selepas penyandangnya, Seah Leong Peng daripada DAP meninggal dunia akibat barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.

Ditanya mengenai pemilihan Dyana Sofya Mohd. Daud yang juga Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai calon DAP bagi PRK berkenaan, Khairy berkata, pemilihan gadis Melayu itu adalah strategi parti berkenaan dalam menghadapi PRK tersebut.

"Kita tak ambil berat pun soal siapa calon DAP memandangkan mempunyai firasat sokongan kuat terhadap BN masih ada di Teluk Intan terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cangkat Jong dan saya yakin sokongan penuh akan diberikan kepada BN," katanya.(utusan on line-politik).Posted by abnmulya.Blogspot.com.at 1334 hrs on Mei 19,2014.

No comments: