Thursday, May 8, 2014

PKR Selangor makin 'ganas'-Noh Omar

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my

Noh Omar (kanan) menuai rock melon sambil diperhatikan oleh Sulaiman Mohd. Karli sempena perasmian Musim Penuaian Rock Melon di Hub Pengeluaran Makanan Ladang Fertigasi PPK Sungai Nyatoh, Kuala Langat, Selangor, semalam. 

KUALA LANGAT 8 Mei - Tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengambil semula tanah yang telah diusahakan oleh rakyat sejak berpuluh-puluh tahun dianggap sebagai tindakan ‘ganas’ dan tidak bertimbang rasa.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau menerima banyak laporan berhubung perkara itu termasuk melibatkan tanah berstatus kebenaran menduduki sementara (TOL) tanpa diberikan pampasan sewajarnya.

"Kita memang sedar tanah tersebut milik kerajaan negeri namun kita ingin tahu mengapa notis tersebut dikeluarkan tanpa apa-apa pampasan dinyatakan.

"Semalam sebanyak 336 peneroka tanah dari Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang mendakwa tanah yang mereka usahakan sejak 70 tahun lalu hendak dirampas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Musim Penuaian Rock Melon di Hab Pengeluaran Makanan Ladang Fertigasi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Nyatoh di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS), Ahmad Fuad Zakaria dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli.

Semalam, lebih 100 peneroka berhimpun di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa merampas tanah diusahakan mereka sejak hampir 70 tahun lalu.

Mereka adalah sebahagian daripada 336 peneroka tanah dari Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang yang menuntut kerajaan negeri menarik balik keputusan merampas tanah terbabit selain membenarkan mereka terus mengusahakan aktiviti tanaman kelapa sawit, sawah padi dan koko di atas Tanah Hutan Simpan Sungai Karang.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menambah, beliau juga difahamkan kerajaan negeri ada menawarkan tanah yang dirampas untuk diberi milik semula kepada peneroka dengan bayaran premium mengikut harga pasaran semasa.

"Jika begitu keadaannya, kerajaan bukan memberi milik tanah tetapi menjual tanah tersebut kepada rakyat dan bayangkan satu ekar tanah boleh dinilai pada harga RM100,000. Jika 10 ekar berapa yang perlu dibayar.

"Sehubungan itu, UMNO Selangor akan menubuhkan sebuah sekretariat yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mod. Zohdi dan dibarisi peguam sebagai penasihat. 

"Mana-mana rakyat Selangor yang mahu menuntut hak mahupun pampasan ke atas tanah yang diusahakan mereka diharap dapat menghubungi sekretariat tersebut," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pengeluaran rock melon di hab tersebut, Noh menjelaskan, beliau berharap projek tersebut diteruskan setelah enam kali hasil tuaian diraih di situ. (Utusan onlin4-dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 12.07 am on Mei 09,2014.

No comments: