Tuesday, July 22, 2014

Pas masih iktiraf Abdul Khalid sebagai Menteri Besar yang sah.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM 22 Julai - Pas dan DAP di negeri ini belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menyokong tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencalonkan Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Sallehen Mukhyi sebaliknya berkata, pihaknya buat masa ini mengiktiraf Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang sah memandangkan tiada sebarang perbincangan mengenai perubahan kepimpinan pentadbiran negeri dibuat melibatkan Pas negeri dan pusat.

"Buat masa ini, kita masih berpegang bahawa Tan Sri Abdul Khalid masih Menteri Besar Selangor. Selain itu, buat masa ini juga Pas Selangor dan Pas pusat tidak ada sebarang keputusan termasuklah bersetuju Wan Azizah adalah calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Isu Menteri Besar Selangor juga tidak dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), sebaliknya perkara itu dibincangkan di peringkat kepimpinan parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sallehen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri itu berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan sebulat suara PKR yang mencalonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Menurut Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laporan akhbar, pencalonan itu dibuat dibuat atas kapasiti Wan Azizah yang dikatakan mampu menyelesaikan banyak perkara tertangguh di Selangor.

Malah, Anwar turut menyatakan keputusan untuk menukar Menteri Besar Selangor telah dipersetujui oleh sekutu mereka iaitu Pas dan DAP sebelum ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim turut menyatakan pihaknya tidak boleh menyatakan sebarang persetujuan termasuk memberikan sokongan terhadap keputusan PKR mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 5.33 am on July 23,2014.

No comments: