Tuesday, September 9, 2014

Kuasa mengundi KWSP adalah kritikal

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
ekonomi@utusan.com.my 



KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu ada kuasa mengundi dalam cadangan penggabungan bank mega melibatkan CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB Group), Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) dan RHB Capital Bhd. (RHB Capital).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkara itu amat penting kerana KWSP yang menaungi 14 juta ahli perlu melindungi kepentingan-kepentingan mereka dalam semua syarikat terbabit.

Malah beliau juga menyifatkan, kuasa untuk mendapat undian dalam isu penggabungan itu adalah 'kritikal' dan amat penting demi kebajikan ahli-ahlinya.

"Apa yang kami minta hanyalah keprihatinan pihak yang terlibat bahawa KWSP mempunyai 14 juta ahli dan adalah tanggungjawab kami untuk melindungi hak mereka," katanya selepas pembentangan pada Seminar Antarabangsa KWSP di sini hari ini.

Julai lalu, tiga entiti kewangan tempatan iaitu CIMB Group, RHB Capital dan MBSB mengumumkan usaha membentuk sebuah kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dan mendapat kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan penggabungan.

KWSP mempunyai 64.73 peratus kepentingan di dalam MBSB manakala 14.46 peratus di dalam CIMB dan 40.76 peratus di dalam RHB Capital.

Sebelum ini, KWSP dalam kenyataannya melahirkan rasa terkejut terhadap laporan dua buah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang melaporkan mereka memohon kepada Bursa Malaysia untuk mendapatkan kuasa undi di dalam pembentukan bank mega tersebut.

Dua akhbar Inggeris itu yang memetik sumber melaporkan bahawa KWSP telah menghantar permohonan kepada Bursa Malaysia bagi mendapatkan kembali hak mengundi dalam pembentukan gabungan tiga bank itu.

Namun, difahamkan, beberapa pihak dalam usaha penggabungan itu tidak mahu KWSP mempunyai sebarang suara.

Keputusan untuk kuasa undi dalam penggabungan bank itu menjadi isu kontroversi apabila sekeping surat tidak bertandatangan kononnya daripada ahli lembaga pengarah RHB Capital yang tidak berpuas hati telah didedahkan Khamis lalu.

Surat itu menyatakan bantahan terhadap terhadap permohonan kepada Bursa Malaysia bagi pengecualian untuk membenarkan KWSP mempunyai kuasa undi dalam meluluskan cadangan penggabungan perniagaan dan usaha Kumpulan CIMB dan RHB sama ada melalui pengambilalihan perniagaan CIMB atau sebaliknya.

Mengikut peraturan penyenaraian Bursa Malaysia, KWSP dikatakan tidak mempunyai hak untuk mengundi, bagaimanapun terdapat klausa yang membolehkan mereka memohon untuk mendapatkan semula kuasa mengundi. Utusan online-koporat).Posted by abnmulya / Abu bajkar ninggal.blogspot.com.at 2316 hrs on Sept.,09,2014.\

No comments: