pengarang@utusan.com.my
![]() |
Khairul Anuar Rahmat |
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, keputusan mahkamah itu yang dijatuhkan hari ini tidak wajar.
"Sebaik sahaja ditahan oleh Polis Singapura pada 20 Mei lalu, Mohamed Kamil tidak dibenarkan keluar dari Singapura bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya malah dia juga tidak dapat bekerja dan mengalami risiko kehilangan kerja.
"SukaGuam berpendapat pihak pendakwaan di Singapura tak perlu menahan rakyat negara ini selama berbulan-bulan atas kesalahan kecil, kemudian dipenjara seminggu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamed Kamil dijatuhi hukuman penjara selama seminggu oleh mahkamah di Singapura hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh di luar Stadium Jalan Besar.
Berdasarkan laporan laman web The Strait Times, dalam kejadian itu, Mohamed Kamil, 27, didakwa merempuh garisan polis dan meninggikan suara kepada pegawai keselamatan selepas tidak dibenarkan masuk ke stadium semasa perlawanan JDT menentang Lions XII.
Menurut Khairul Anwar, SukaGuam meminta pihak berkuasa tempatan menghantar nota bantahan kepada Mahkamah Singapura supaya mengkaji undang-undang lapuk negara itu.
"Ini jelas menunjukkan Mahkamah Singapura mengetepikan prinsip penting perundangan iaitu 'justice delayed is justice denied' maksudnya keadilan yang tertangguh sebenarnya adalah keadilan yang dinafikan. Sepatutnya tertuduh didakwa secepat mungkin dan dijatuhkan hukuman segera supaya boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Mahkamah Singapura sengaja melambat-lambatkan proses pendakwaan sehingga memaksa Mohamed Kamil hampir tiga bulan di negara itu dan difahamkan sepanjang tempoh tersebut, dia tinggal di rumah saudaranya," katanya.
Menurutnya, pihak pendakwaan Singapura sepatutnya membayar pampasan mengikut jumlah hari yang terpaksa dihabiskan oleh Mohamed Kamil di Singapura kerana hukuman penjara rasmi hanya seminggu tetapi dia ditahan selama tiga bulan di republik itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kulai, Mohd. Fadil Misnan menegaskan, kesalahan merusuh dan meninggikan suara terhadap pihak berkuasa Singapura dilihat sesuatu yang pelik dan sukar diterima.
Menurutnya, isu sebenar dalam kes itu ialah keengganan pihak Stadium Jalan Besar atau Persatuan Bola Sepak Singapura menerima tiket yang dibeli oleh penyokong-penyokong JDT.
"Seandainya benar penyokong JDT membeli tiket dikhaskan kepada penyokong Singapura, pasti ada satu pendekatan penyelesaian yang boleh dibuat, seperti pemulangan semula wang.
"Tetapi menurut maklumat yang diterima, pihak stadium langsung tidak mengendahkan rayuan mereka. Ini boleh dianggap satu provokasi sengaja kepada penyokong JDT," katanya.
Beliau juga berasa kecewa kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah menutup mata dan tidak berusaha membantu menyelesaikan isu ini.
Katanya, FAM wajar mempertimbangkan semula penyertaan Singapura dalam bola sepak Malaysia jika negara jiran itu tidak mempunyai semangat kesukanan tinggi dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya / abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1628 hrs on September 03,2014.
No comments:
Post a Comment