Friday, September 26, 2014

Usah tegaakkan benang basah

Oleh ALIF FADLI MOHD. SORI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 25 Sept. - Tindakan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mempertikai tindakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) menutup pejabat dan menamatkan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dilihat seolah-olah beliau cuba untuk menegakkan benang yang basah dengan mempertahankan Ketua Pembangkang itu.

Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, Azmin sepatutnya mempunyai prinsip kepimpinan yang tegas dan bertanggungjawab sebagai seorang Menteri Besar dan tidak hanya menjadi seperti 'lembu ditarik hidung'.

Katanya, Azmin perlu telus dalam menyelesaikan polemik yang cuba dicetuskan oleh Anwar dan bertindak lebih drastik dengan menuntut kembali kerugian yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri sepanjang Anwar memegang jawatan tersebut.

"Tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat Anwar adalah satu langkah yang tepat walaupun sebenarnya tindakan itu sudah terlambat tetapi masih mampu untuk mengurangkan pembaziran yang berlaku.

"Reformis juga mahu Azmin tidak terus leka kerana jawatan itu merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan bukannya sekadar menjadi boneka Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam hal pentadbiran negeri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin semalam mempertahankan tindakan Abdul Khalid memecat Anwar yang dibuat di atas perkiraan mengurangkan kos tidak mustahak yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan perbelanjaan operasi Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam pada itu, Ramlan turut mempersoalkan manfaat dan pelaburan yang diterima oleh kerajaan negeri sepanjang Anwar memegang jawatan itu kerana kerajaan negeri Selangor mempunyai badan khas seperti Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk menguruskan hal pembangunan negeri Selangor.

"Apakah simboliknya pelantikan Anwar atau itu hanya satu sandiwara dalam memuaskan kehendak Anwar. Sepatutnya dari dahulu MBI memecat beliau kerana tiada sebarang pertambahan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali turut menyifatkan tindakan Azmin seolah-olah menunjukkan bahawa beliau belum cukup mahir dalam kepimpinan.

Katanya, Anwar dipecat semasa Abdul Khalid masih memegang jawatan Menteri Besar Selangor dan itu merupakan hak beliau untuk bertindak demikian. Justeru, Azmin tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan sebarang keputusan yang telah diambil.

"Kita tunggu dan lihat apa tindakan Azmin selepas ini. Jika dia kembali menawarkan jawatan tersebut kepada Anwar, jangan marah bila ada orang menggelarkan dia sebagai anak emas Ketua Pembangkang tersebut," katanya.( Utusna online-politik) Poste b y abnmulya /Abu bakar Ninggal.blogspot.com. at 1506 hrs on Septe., 26,2014.

No comments: