Tuesday, October 14, 2014

DASAR DAP HAPUSKAN KAMPUNG WARISAN?

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my 

PULAU PINANG 14 Okt. - Parti Gerakan hari ini mempersoalkan sama ada wujud usaha terancang oleh Kerajaan DAP negeri melalui dasar yang dilaksanakan dalam pentadbiran untuk memusnahkan kampung warisan tempatan dan tinggalan sejarah di negeri ini.

Andaian itu menurut Setiausaha Gerakan negeri, Oh Tong Keong berdasarkan kejadian yang menimpa beberapa kampung sejak enam tahun lalu yang telah 'hilang' kerana kelulusan yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk projek pembangunan.

Katanya, perkara itu turut dipersoalkan rakyat negeri ini yang risau dengan perkembangan berkenaan lebih-lebih lagi, kebanyakan kelulusan yang diberikan adalah untuk membina rumah mewah.

"Ini menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengamalkan dasar propemaju sejak mentadbir negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan lebih 200 penduduk Kampung Mutiara di Batu Feringghi di sini yang wujud sejak lebih 50 tahun lalu apabila mereka diarah mengosongkan kediaman masing-masing tanpa pampasan dan rumah ganti.

Tong Keong berkata, kejadian di Kampung Mutiara itu hanya menambah lagi 'rekod' Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam 'membersihkan' kampung warisan di negeri ini selepas beberapa kejadian serupa sejak 2008.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 25 buah kampung bakal dan telah hilang akibat kelulusan yang diberikan untuk melaksanakan projek mega. Antaranya termasuk Kampung Siam di Pulau Tikus, Kampung Pokok Asam di Jelutong, Kampung Batu Uban di Gelugor, Kampung Binjai di Bayan Lepas serta banyak lagi," katanya.

Apa yang menyedihkan katanya, di atas kemusnahan tapak kampung-kampung warisan tersebut, projek yang dibangunkan dan mendapat kelulusan PBT merupakan projek untuk 'orang kaya' dan rata-rata penduduk tidak mampu membeli hartanah berkenaan.

"Kerajaan negeri tidak pula memberi kelulusan kepada projek rumah mampu milik dan sebab itu kita persoalkan adakah dasar mereka mahu memusnahkan kampung tradisi di negeri ini," katanya.

Secara sinis Tong Keong berkata, kerajaan negeri bermurah hati apabila menyampaikan bantuan warga emas bernilai RM100 setahun namun pada masa yang sama, dasar pentadbiran memusnahkan rumah-rumah di kampung terlibat.(Urtusan online-politik).Posted by abnmulya/ Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.31 am on Okt.,15,2014.

No comments: