Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sikap berdiam diri Majlis Peguam berkenaan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes rayuan kesalahan liwat membuktikan integriti badan itu boleh dipertikaikan.
Malah, beliau turut menyifatkan Majlis Peguam sebagai hipokrit dalam mengeluarkan kenyataan apabila melibatkan isu berkaitan Anwar.
“Tindakan berdiam diri Majlis Peguam ini hanya akan menjejaskan kredibiliti mereka sendiri. Jika Majlis Peguam tidak menghormati resolusi sendiri, bagaimana mereka hendak hormat orang lain?
“Malah, jika mereka masih berdiam diri, hanya akan membuktikan yang sebenarnya mereka hipokrit serta dilihat menjadi alat kepada Anwar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sikap Majlis Peguam yang masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan mewakili Anwar dalam kes rayuan atas kesalahan liwat.
Hal demikian berbeza dengan resolusi Majlis Peguam sebelum ini yang melarang mana-mana bekas hakim menjadi peguam bela di mahkamah.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairul yang juga merupakan Fasilitator Gerakan Pertahan Akta Hasutan turut mempersoalkan sikap ‘double standard’ Majlis Peguam terhadap isu-isu melibatkan Ketua Pembangkang itu.
“Sebelum ini semasa ada ura-ura bekas hakim mahu dilantik menjadi peguam bela kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mereka (Majlis Peguam) menentang, tetapi apabila melibatkan kes Anwar hanya berdiam diri pula.
“Jadi, kita persoalkan mengapa Majlis Peguam mengamalkan dua set undang-undang yang berbeza seperti ini terutama apabila melibatkan kes Anwar,” jelasnya.
Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh turut membidas sikap berdiam diri Majlis Peguam dalam isu tersebut yang dilihat sangat bertentangan dengan resolusi yang dikeluarkan sebelum ini.
“Adalah tidak wajar bagi Majlis Peguam mempunyai dua prinsip setiap kali timbul isu berkaitan pembangkang terutamanya melibatkan Anwar,” katanya.( Utusan online-politik) Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.20 am on Oct.,31,2014.
<