Menurut Anifah, tawaran tersebut diterima daripada seorang tokoh korporat yang dikenali dengan nama Ishak Ismail di sebuah hotel terkemuka di ibu negara sekitar tahun 2008.
Walau bagaimanapun beliau tidak dapat mengingati sama ada tawaran berupa wang itu dibuat sebelum atau selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya melalui telefon sekiranya bersetuju untuk ‘lompat parti’.
Menjawab mengenai perbualan telefonnya dengan Anwar sekitar Mei dan Jun 2008, Anifah telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak berminat untuk berpaling tadah daripada Barisan Nasional (BN).
Menteri itu turut menyatakan, beliau berkemungkinan ditawarkan kedudukan (jawatan Timbalan Perdana Menteri) ekoran ucapannya mengkritik kerajaan kerana kurang memberikan jawatan menteri kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak selepas pilihan raya umum pada 2008.
“Anwar mengenali saya dan selepas apa yang saya nyatakan di Parlimen ketika itu, saya menjadi sasaran oleh Anwar untuk merealisasikan kerajaan 16 September beliau. Tambahan pula, terdapat beberapa orang ahli Parlimen dari Sabah yang akan mengikut saya sekiranya berbuat demikian,” katanya yang enggan mendedahkan nama ahli Parlimen yang rapat dengannya.
Anifah memberitahu, sebelum Anwar membuat panggilan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya, sudah terdapat beberapa usaha untuk menarik beberapa ahli Parlimen terutama dari Sabah dan Sarawak namun beliau dan beberapa lagi telah membuat ketetapan untuk tidak berpaling tadah.
Anifah atau nama sebenarnya, Anifa Aman @ Haniff Amman, 61, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Razlan Hadri Zulkifli pada perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar selaku plaintif terhadapnya.
Ahli Parlimen Kimanis itu sepatutnya memberi keterangannya pada Selasa lalu namun ditangguhkan ke hari ini ekoran beliau tidak sihat akibat keracunan makanan dan konjunktivitis.
Anwar memfailkan saman pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Hillary Clinton semasa lawatan kerja ke negara tersebut.
Dalam saman tersebut, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, Anifah dalam sidang akhbar itu menyatakan beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, menteri terbabit memberitahu, beliau tidak menyimpan nombor telefon ahli perniagaan bernama Tony Vun mahupun Anwar.
Katanya, kali terakhir beliau bercakap dengan Anwar adalah sewaktu plaintif masih bersama UMNO dan BN serta memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, ketika menerima panggilan daripada Vun, beliau mengenali individu yang bercakap dengannya adalah Anwar.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Vun dan tidak menyimpan nombor telefon bimbitnya. Namun, ketika sedang berjalan keluar dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), saya menerima panggilan telefon daripadanya (Vun). Saya cam suaranya dan ketika itu dia memberitahu saya ada seseorang hendak bercakap dengan saya.
“Selepas menunggu beberapa saat, terdengar suara orang memberi salam dan saya tahu itu adalah Anwar kerana itu merupakan caranya. Beliau kemudian memberitahu saya yang beliau mencari saya di Macau, China namun saya beritahu saya berada di ibu negara.
“Kami berbual kira-kira 10 minit dan dalam tempoh itu beliau berulang kali menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada saya. Namun sepanjang perbualan itu jugalah, saya menolak tawarannya dan memberitahu sangat tidak berminat dengan tawaran yang dibuat.
“Anwar turut meminta saya membawa beberapa lagi ahli Parlimen untuk bersama dengannya membentuk kerajaan 16 September dan mengatakan akan menjaga mereka yang setuju berbuat demikian,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung esok.( Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.36 am on N ovember-29,2014.