Pemangku Timbalan Ketuanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, sebaliknya Ulama Pas tetap sehingga bila-bila menyokong keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dinyatakan dua tahun lalu bahawa kalimah Allah kekal untuk umat Islam sahaja.
“Kalimah Allah adalah berkaitan dengan hukum Islam, bermakna kita tidak boleh berkompromi. Jika Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih mempertahankan kenyataan mereka, berkemungkinan besar Presiden Pas akan menasihati kedua-duanya bagi mengelakkan kekeliruan ini.
“Tetapi Pas tetap dengan pendirian dan konsisten sejak dari dahulu, Dalam hal ini kami tidak akan berada di belakang mereka yang tidak mempertahankan hukum Islam. Itu sudah jelas dan pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anwar semalam mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mahu membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negeri tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng yang bertegas menyatakan penguatkuasaan penggunaan kalimah Allah di negeri Pulau Pinang hanya sah kepada orang Islam semalam masih tetap dengan pendirian enakmen tersebut hanya dikhususkan kepada orang Islam dan tidak terpakai terhadap bukan Islam.
Mahfodz yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas berkata, Majlis Syura Ulama dan di peringkat Pas Pusat sebelum ini juga sepakat dan menegaskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah tetapi perlu digunakan secara tertutup iaitu dalam kalangan mereka sahaja.
Contohnya, kata beliau, mereka boleh menggunakan kalimah suci itu di dalam gereja, jika untuk kegunaan di dalam Bible, tidak boleh disebarkan kepada umum yang merangkumi orang Islam.
“Langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan. Kita semua umat Islam sedia maklum, malah perkara ini hangat dibincangkan dalam negara secara umum iaitu kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa lain kerana terikat dengan ilmu Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
“Jika kita membenarkan agama Kristian menggunakan kalimah Allah itu secara umum, maksudnya akan berbeza, Ini kerana pemahaman mereka tentang Tuhan itu adalah God yang mempunyai ibu dan anak lelaki, sedangkan Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan,” katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.58 am on Dis-17,2014.