Khairul Azwan
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, Khazanah perlu memberi kepercayaan kepada anak tempatan untuk menerajui syarikat penerbangan Malaysia itu.
Beliau menegaskan, adalah terlalu berisiko untuk MAS yang merupakan aset strategik nasional dengan dana RM6 bilion hasil suntikan Khazanah, diuruskan oleh rakyat asing.
“Pemuda UMNO melihat sekiranya pelantikan rakyat asing ini diteruskan, ia bakal mengundang pelbagai persepsi terhadap kemampuan Khazanah yang dilihat terpaksa bergantung kepada pakar luar.
“Pemuda UMNO amat khuatir sekiranya pakar luar dijadikan taruhan dengan risiko yang terlalu tinggi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, Pemuda UMNO percaya ramai rakyat tempatan yang layak dan berkemampuan untuk menerajui MAS.
“Khazanah perlu diurus selia oleh calon anak watan yang lebih memahami keperluan budaya dan cara kerja serta iklim ekonomi kita.
“Kita melihat justifikasi pemulihan lebih berbentuk pengurangan kos operasi dan pencarian laluan udara yang lebih menguntungkan. Kita percaya Khazanah mampu mencari calon tempatan yang layak sekiranya mahu,” tegasnya.
Tegas beliau, Talent Corp. boleh membantu untuk mencari bakat tempatan dan sekiranya Khazanah memerlukan tenaga asing, mereka boleh dilantik sebagai perunding atau penasihat kepada MAS.
Pada 5 Disember lalu, MAS mengumumkan pelantikan Mueller sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS dan CEO MAS NewCo berkuat kuasa 1 Januari 2015.
Pelantikan Muller merupakan antara pelan pemulihan 12 perkara untuk membolehkan MAS kembali untung dalam tempoh tiga tahun selepas dikeluarkan daripada senarai­an awam Bursa Malaysia hujung tahun ini.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya  /Abu Bakar N inggal.blogspot.com.at 11.55 am on Dis-10,2014.