OLEH: MARZITA ABDULLAH :16 Januari 2015 1:36 AM
Nurul Izzah |
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Konflik rumah tangga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berakhir hari ini apabila beliau sah bercerai talak satu dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Pasangan tersebut bersetuju untuk menyelesaikan permohonan cerai yang difailkan Nurul Izzah sejak Disember 2013 pada hari ini setelah mencapai persetujuan bersama terhadap terma-terma perjanjian yang dikemukakan.
Ini termasuk Nurul Izzah yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak akan mengemukakan sebarang tuntutan berhubung nafkah idah, nafkah mutaah (bayaran sagu hati) dan harta sepencarian.
Kedua-dua pihak juga bersetuju terhadap terma tambahan perjanjian mengikut Seksyen 82 dan Seksyen 83 (a) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Berdasarkan seksyen itu, sekiranya isteri berkahwin lain hak penjagaan anak diserahkan kepada suami.
Raja Ahmad Shahrir, 36, melafazkan cerai talak satu itu di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain pada pukul 4.17 petang ini setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara bersama.
Mohd. Amran mensabitkan jatuh talak berkenaan setelah berpuas hati lafaz talak itu telah memberi kesan terhadap ikatan perkahwinan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Raja Ahmad Shahrir melafazkan talak itu dengan lancar dan tenang namun dilihat mengesat air mata setelah selesai berbuat demikian manakala Nurul Izzah, 35, kelihatan serius dan tenang.
Sehubungan itu, Mohd. Amran memerintahkan Nurul Izzah beridah tiga kali suci bermula hari ini dan sijil pernikahan yang telah dikeluarkan sebelum ini dibatalkan.
Dalam pada itu, Raja Ahmad Shahrir dan Nurul Izzah turut bersetuju terhadap terma perjanjian berhubung hak penjagaan anak secara bersama tanpa perbicaraan.
Ketika memfailkan permohonan cerai sejak lebih setahun lalu, Nurul Izzah memberi alasan tiada lagi persefahaman dan rasa kasih sayang (tiada mawaddah dan rahmah) menyebabkan keretakan rumah tangga mereka.
Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Damansara di ibu negara.
Sementara itu, di luar mahkamah, peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir memberitahu pihak media, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan mengemukakan sebarang tuntutan selepas ini.
Berhubung nafkah anak, beliau berkata, pasangan itu bersetuju Raja Ahmad Shahrir akan membayar nafkah sebanyak RM1,500 setiap bulan terhadap Raja Nur Safiyah, 8, dan Raja Ahmad Harith, 6, yang kini di bawah jagaan Nurul Izzah.
Katanya, pasangan itu juga bersetuju dengan hak penjagaan anak secara bergilir dengan Nurul Izzah memperoleh hak bermalam dengan anak mereka bermula Isnin pukul 8 malam sehingga Jumaat 6 petang.
“Anak guam saya akan memperoleh hak bermalam bersama anaknya bermula Jumaat 6 petang sehingga Isnin 8 malam,” katanya.
Hak penjagaan anak semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha 2015 pula Azmi berkata, kedua-dua anak pasangan itu akan bersama-sama Nurul Izzah pada malam hari raya sehingga petang hari raya ketiga dan Raja Ahmad Shahrir akan menjemput anak mereka pada petang itu di rumah Nurul Izzah.
Sementara itu, Raja Ahmad Shahrir enggan mengulas lanjut mengenai penceraian itu dan menyerahkan kepada Azmi untuk menjawab pertanyaan pihak media.
Nurul Izzah turut enggan menjawab pertanyaan pihak media dan bergegas meninggalkan mahkamah bersama peguam syarie, Normawaddah Ramli namun seperti biasa dia sempat memberitahu pihak media ‘Terima Kasih kerana menghormati privasi saya.(Utuysan online-Mahkamah Tinggi Syariah).Posted by Abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 10.36 am on Jan-16,2015..
No comments:
Post a Comment