SHAH ALAM 16 Feb. – Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memberi keterangan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung isu pemecatannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa tidak menepati perlembagaan parti.
![]() |
Abdul Khalid Ibrahim |
Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu, Faekah Husin berkata, Abdul Khalid berbuat demikian di pejabat ROS di Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, tindakan tersebut susulan aduan yang dibuat kepada ROS pada Ogos lalu yang mendakwa pemecatan Abdul Khalid daripada PKR sebelum ini dilakukan tanpa mengikut prosedur sah.
“Pendirian beliau (Abdul Khalid) adalah jelas bahawa pemecatannya daripada PKR dibuat dengan cara yang tidak adil kerana beliau tidak diberikan peluang untuk membela diri.
“Sebagai ahli PKR, beliau mempunyai hak untuk membela diri manakala parti juga perlu mendengar pandangannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 16 Ogos tahun lalu, Abdul Khalid memfailkan aduan kepada ROS berhubung pemecatannya daripada PKR atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.
Tindakan Abdul Khalid itu dibuat susulan pengumuman Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong pada 9 Ogos lalu yang memutuskan memecat bekas Menteri Besar itu berkuat kuasa serta-merta.
Pemecatan dibuat atas alasan Abdul Khalid mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada 21 Julai lalu yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar yang baharu.
Selain itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar selain mengingkari keputusan MPP pakatan pembangkang untuk menangguhkan proses serta perbincangan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).
Dalam pada itu, Faekah menjelaskan, tindakan Abdul Khalid itu tidak bermakna bekas Menteri Besar berkenaan berhasrat menyertai semula PKR, sebaliknya dibuat atas prinsip membetulkan tata cara pentadbiran PKR yang kononnya memperjuangkan hak individu dan rakyat di negara ini.
"Sebagai sebuah parti politik, PKR perlu menunjukkan contoh bahawa parti itu benar-benar berjuang atas prinsip keadilan individu dan rakyat. Sebaliknya, dalam isu Abdul Khalid, PKR tidak memberikan hak dan keadilan kepadanya untuk membela diri," jelasnya.( Utusan online).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal blogspot.com.at 11.38 am on Feb-17,2015.
No comments:
Post a Comment