Arifin menyatakan, beliau mengambil pendekatan mudah iaitu menangguhkan panel yang sedang dipengerusikannya jika berlaku situasi atau perkara yang tidak sepatutnya.

Ketika ditanya sama ada beliau berasa hati terhadap kata-kata Anwar sewaktu mengemukakan rayuan meringankan hukuman, Ketua Hakim Negara menjelaskan bahawa beliau tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Ketua Pembangkang itu.

“Saya tidak mendengarnya. Saya melaksanakan tugas dengan ikhlas tanpa bersikap peribadi kepada sesiapa,’’ ujar beliau kepada pemberita di Istana Kehakiman hari ini.

Walau bagaimanapun, Arifin enggan mengulas ketika ditanya sama ada mahkamah akan mengenakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhubung insiden berkenaan.

Ketua Hakim Negara ditanya pendiriannya berhubung insiden Anwar menyelar institusi kehakiman yang didakwanya sebagai ‘rakan subahat’ yang membunuh kebebasan kehakiman dan integriti.

Ketua Pembangkang itu dalam prosiding rayuan kes liwatnya pada 10 Februari lalu mendakwa panel tersebut telah ‘menjual’ jiwa mereka kepada syaitan sebagai tukaran dalam mendapatkan pulangan dan kedudukan.

Tindakan Anwar itu menyebabkan Ketua Hakim Negara menegur dan bertanyakan mengenai apa re­levannya kata-kata beliau de­ngan rayuan yang dikemukakan bagi mengurangkan hukuman.

Pada ketika itu, Anwar masih meneruskan ‘rayuannya’ tanpa menghiraukan teguran panel tersebut menyebabkan mahkamah ditangguhkan seketika bagi membuat keputusan mengenai tempoh hukuman penjara.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.

Arifin ditemui pemberita selepas upacara angkat sumpah jawatan dan taat setia hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Ra­yuan dan hakim Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zaharah Ibrahim dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani A. Rahim sebagai Hakim
Mahkamah Rayuan.

Dua pesuruhjaya kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Arifin menyatakan, mahkamah memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemar maruah dan integriti badan kehakiman dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya.

Ketua Hakim Negara itu menyatakan, badan kehakiman bersikap terbuka menerima kritikan namun kecaman dan tuduhan tidak berasas boleh melumpuhkan sistem pentadbiran keadilan dan menghakis kepercayaan masyarakat.

Beliau turut berpandangan, selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi, semakin ramai pihak yang mengemukakan buah fikiran berbentuk kritikan dan sindiran tanpa rasa malu dan bersalah.

“Badan kehakiman juga tidak terkecuali daripada menerima kritikan dan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan melalui laman sosial,’’ ujar beliau.( Utusan online).Posted by abnmulya  / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.03 am on Feb-17,2015.