Wednesday, March 25, 2015

Akar umbi PKR sokong hudud

26 Mac 2015 2:10 AM

Norizam Yassin (tiga dari kiri) bersama-sama ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan sokongan mereka terhadap pelaksaaan hudud di Kelantan di Seksyen 14 di sini semalam. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS 


SHAH ALAM 25 Mac – Sekumpulan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tampil menyatakan pendirian mereka menyokong sepenuhnya pelaksanaan hukum hudud di Kelantan menerusi pembentangan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Rakyat. 

Menurut kumpulan itu, soko­ngan terhadap pelaksanaan hudud dibuat atas kesedaran mereka sebagai rakyat yang bukan hanya mahu memartabatkan Islam, bahkan mengekalkan prinsip toleransi serta hormat-menghormati antara pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Wakil kumpulan terbabit, Norizam Yassin berkata, pihaknya sedar tindakan mereka tidak selari dengan pendirian rasmi PKR pada 21 Mac lalu yang bertegas tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hukum hudud itu.

“Bagaimanapun, sebagai umat Islam tanpa mengira ras dan keturunan, kita perlu bangkit mempertahankan kesucian agama Islam daripada diasak bertubi-tubi oleh beberapa pihak yang melihat isu hudud ini sebagai agenda politik.

“Oleh demikian, kami menyokong penuh apa yang dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan berlandaskan kesedaran bahawa Islam jauh merentasi sempadan politik kepartian,” katanya yang juga Naib Ketua PKR Cabang Rasah di sini hari ini.

Pada masa sama, Norizam turut mengkritik kepemimpinan PKR supaya tidak membuat keputusan hanya berlandaskan kepentingan untuk mengekalkan kuasa, selain mendesak pemimpin bukan Islam, khususnya daripada DAP agar menghentikan sebarang spekulasi dan kenyataan terbuka tentang hudud yang digubal untuk umat Islam di Kelantan.

Sementara itu, ahli PKR Cabang Kota Raja, Anthony Dass menyifatkan tindakan menyelar pihak yang menentang pelaksanaan hudud khususnya daripada kalangan bukan Islam disifatkannya memberi implikasi negatif kepada hubu­ngan serta rasa hormat-menghormati antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Menurutnya, walaupun me­nganut Kristian Katholik, dia menyokong pelaksanaan hukum hudud yang dikenakan hanya ke atas umat Islam.

“Mana-mana parti politik khususnya daripada kalangan pe­mimpin bukan Islam tidak boleh campur tangan, apatah lagi memberi nasihat supaya jangan sokong hukum melibatkan agama orang lain. 

“Siapa mereka untuk menentukan hukum hudud tidak boleh dilaksanakan sedangkan tiada kena-mengena dengan orang bukan Islam,” tegasnya.

Pandangan sama turut diberikan oleh ahli PKR dari Cabang Shah Alam, Datuk Hussien Ahmad yang memberi amaran kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung parti itu yang belum disahkan jawatan,

Lim Guan Eng supaya tidak mencampuri urusan umat Islam berkaitan dengan soal pelaksanaan hudud termasuk memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“DAP jangan cuba ajar orang Islam berkenaan hukum hudud. Sedar atau tidak bahawa pakatan (pembangkang) itu masih belum didaftarkan. Mengapa perlu pertikai hasrat Abdul Hadi... beliau adalah seorang pemimpin Islam,” ujarnya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya  / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.19 am on March 26,2015.

No comments: