Wednesday, April 1, 2015

Boleh laksankan hudud tanpa pinda Perlembagaan

02 April 2015 2:16 AM

PUTRAJAYA 1 April – Kerajaan Kelantan boleh melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 yang mengandungi peruntukan hukum hudud tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.

Tun Abdul Hamid Mohamad. 
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, antara kaedahnya adalah dengan menyenaraikan kesalahan-kesalahan yang di bawah bidang kuasa negeri seperti dinyatakan dalam Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, antara kesalahan tersebut adalah zina, menuduh zina dan minum minuman yang memabukkan iaitu kesalahan-kesalahan bukan dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Namun begitu pihak Parlimen mestilah terlebih dahulu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan badan perundangan negeri berbuat demikian. ]

“(Selain itu) Undang-undang ini merupakan undang-undang di bawah Senarai Negeri dan hanya terpakai kepada orang Islam melalui pentadbiran Mahkamah Syariah,” kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (hudud, qisas dan takzir) di Malaysia-Prospek dan Cabaran dalam Seminar Pelaksa­naan Hudud di Malaysia-Sejarah dan Masa Depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan sanggup meminda Akta 355, secara langsung akan membolehkan badan perundangan negeri mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan tersebut.

“Dengan itu badan perundangan negeri bolehlah membuat undang-undang ber­kenaan. Tiada isu ke­perlembagaan di sini,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan Abdul Hamid berkata, antara kaedah lain bagi membolehkan hukum hudud dijalankan tanpa pindaan Perlembagaan adalah melalui tindakan Parlimen melakukan pindaan terhadap Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, dengan hanya majoriti mudah kesalahan hudud se­perti (mencuri dan merompak), qisas dan takzir boleh dikuatkuasakan memandangkan setiap kesalahan berkenaan tertakluk di bawah Senarai Persekutuan. “(Jika berlaku) Undang-undang ini tetap menjadi undang-undang jenayah, terpakai kepada orang Islam serta orang bukan Islam dan ditadbirkan oleh mahkamah sivil,'' ujarnya( Utusan online).Posted by abnmulya / Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at1338 hrs on April 0,2015..

No comments: