KUALA LUMPUR 7 April – Peluang Pas untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan semakin cerah apabila rang undang-undang persendirian bagi meminda bidang kuasa Mahkamah Syariah dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
![]() |
Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas. |
Walau bagaimanapun, rang undang-undang persendirian tersebut mungkin tidak dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang berakhir Khamis ini memandangkan terdapat 23 urusan kerajaan dalam senarai aturan urusan mesyuarat yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Berdasarkan kepada senarai aturan mesyuarat yang diedarkan hari ini, Abdul Hadi mencadangkan dua pindaan iaitu:
i - menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut: “2 Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”; ;
ii - memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut: “2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, sesuai dengan kehendak syariah Islam
” Pada 18 Mac lalu, Presiden Pas itu memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Pindaan berkenaan dicadangkan bagi membuka laluan kepada pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 Mac lalu.
Tindakan Abdul Hadi itu mengeruhkan lagi konflik antara Pas dengan DAP yang juga sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Malah, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng memutuskan hubungan dan menamatkan kerjasama dengan Abdul Hadi sebagai simbolik bantahan keras terhadap komitmen Pas memperjuangkan agenda pelaksanaan hudud.
Cabaran seterusnya bagi Pas adalah untuk mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen bagi membolehkan rang undang-undang persendirian tersebut diluluskan di Dewan Rakyat.
Memandangkan Pas hanya mempunyai 21 Ahli Parlimen, parti itu terpaksa mengharapkan sokongan Ahli-ahli Parlimen beragama Islam yang mewakili parti lain termasuk daripada UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).( Utusan online-parlimen).Posted by abnmulya / haji Abu bakar ninggal. blogspot.com at1919 hrs on April 08,2015.
No comments:
Post a Comment