Sunday, April 5, 2015

PM arah siasatan terperinci nahas helikopter

05 April 2015 2:22 AM 


Najib Tun Razak bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (duduk dua kanan) bercakap dalam sidang akhbar mengenai nahas helikopter yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, Hulu Langat, Selangor, semalam. Turut hadir, Rosmah Mansor. 


HULU LANGAT 4 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan siasatan rapi dan terperinci dilakukan berhubung tragedi helikopter terhempas yang mengorbankan enam nyawa di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, di sini petang ini.

Beliau berkata, siasatan rapi itu perlu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian yang me­ngorbankan individu penting dalam negara.

“Saya berharap siasatan penuh rapi dan terperinci dilakukan dari segenap aspek kerana kita mahu me­ngetahui punca sebenar kejadian.

“Masih terlalu awal untuk mem­buat sebarang kesimpulan berhu­bung tragedi itu namun kita mahu hasil siasatan dilakukan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akh­bar di lokasi nahas di sini.

Turut kelihatan ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, anak perempuannya, No­or­yana Najwa Najib dan menantu, Daniyar Kessibayev.

Menurut Najib, mengikut prosedur siasatan, identiti kesemua mang­sa tidak boleh disahkan selagi siasatan pihak forensik belum selesai.

Namun katanya, negara kehi­langan dua individu yang begitu banyak memberi sumbangan besar kepada negara dan kerajaan serta politik tanah air.

“Saya sendiri kehilangan saha­bat yang banyak berjasa. Tan Sri Jamaludin Jarjis adalah kawan saya sejak dahulu lagi dan beliau merupakan rakan seperjuangan saya malah dalam dunia politik sendiri saya amat rapat dengan beliau.

“Beliau juga merupakan pena­sihat khas kepada saya dan saya menganggap ketiadaannya merupakan satu kehilangan dalam parti selain kehilangan yang amat besar pada diri saya sendiri,” katanya. 

Beliau turut berkongsi perasaan yang sama terhadap Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Seri Azlin Alias yang dianggap begitu rapat dengannya sejak dahulu lagi.

“Beliau secara peribadi berse­tuju untuk meninggalkan bidang korporat demi berkhidmat dengan kerajaan dengan penuh dedikasi dan begitu disenangi. Ketiadaannya adalah kehilangan besar bagi semua,” jelasnya.

Najib turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga yang terlibat dan meminta mereka supaya bersabar.

“Saya berdoa kepada Allah supaya roh kesemua yang terlibat dicucuri rahmat,” katanya yang meminta ke­semua barisan menteri dalam Kabinet supaya mencontohi kewibawaan mereka yang terkorban.( Utusan oinline-) Posted by abnmulya  / Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 1612 hrs on April 05,2015.

No comments: