Thursday, July 23, 2015

PAS boleh bersendirian tanpa PKR,DAP.

24 Julai 2015 1:05 AM 

KUALA LUMPUR 23 Julai – Pas bersedia untuk bergerak secara bersendirian sekiranya parti itu dipinggirkan dalam pakatan pembangkang baharu yang bakal ditubuhkan oleh PKR dan DAP.

Mahfodz MOhamed
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, rakyat yang menyokong agenda mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu diyakini akan terus mengundi Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut beliau, kejayaan Pas mempertahankan Kelantan membuktikan parti itu mampu meraih sokongan rakyat tanpa bergantung kepada PKR dan DAP.

“Pas bersedia menghadapi semua kemungkinan termasuk berkempen dan bertanding di semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoritinya orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan semalam membayangkan tentang penubuhan pakatan baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan, Pas tidak akan dilibatkan dalam pakatan baharu tersebut atas alasan parti berkenaan ‘menjadi punca kematian pakatan pembangkang’ sebelum ini.

Mahfodz menambah, sokongan terhadap Pas juga dijangka meningkat lebih-lebih lagi daripada orang Melayu dan Islam yang sebelum ini agak keberatan untuk menyokong parti itu kerana tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang dijalinkan bersama DAP.

“Dalam beberapa pilihan raya umum terdahulu, mereka mungkin sukar untuk menerima Pas yang dikawal oleh DAP,” jelasnya.

Berhubung kedudukan Kerajaan PKR Selangor, beliau memberitahu, masa depan pakatan pembangkang di negeri itu akan menjadi tidak menentu sekiranya Pas disisihkan oleh PKR dan DAP.

Mahfodz berkata, ketiga-tiga parti tersebut saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengekalkan penguasaan di Selangor. “Itu dari segi teori tetapi pada masa akan datang, kita tidak tahu,” ujarnya.

Sementara itu di Kota Bharu, Setiausaha Agung Pas,Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan Penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) merupakan salah satu pendekatan diambil oleh DAP dipercayai bagi memecahbelahkan Pas Katanya,

DAP menyedari hakikat yang mereka tidak mampu menjadi sebuah parti dominan dalam pakatan pembangkang sekiranya semua pihak dalam Pas bersatu.

Sehubungan itu, katanya, DAP akan berusaha sedaya upaya memastikan Pas berpecah belah, termasuk sanggup menyalurkan dana bagi membiayai penubuhan GHB.

“Usaha itu kita dah lama sedar walaupun kita diam. Kalau Pas bersatu, dia (DAP) tidak boleh menonjol sebagai sebuah parti yang dominan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Kelbikes Bikers di Kelbikes Sdn. Bhd., Tunjung, di sini hari ini.( Utusan online-).Posted  by abnmulya  /haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 9.05 am on July 24,2015.

No comments: