Thursday, September 3, 2015

Wanita Umno Kecewa Tindakan Mahathir

04 September 2015 1:27 AM
NAJIB TUN RAZAK dan Shahrizat Abdul Jalil bergambar dengan sebahagian Exco dan ketua bahagian Wanita UMNO selepas majlis pertemuan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam. utusan/ IRWAN MAJID
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pergerakan Wanita UMNO kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bekas Presiden UMNO itu sebelum ini mendidik ahli parti supaya mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dengan perhimpunan jalanan.

“Tun Mahathir ajar kami supaya patuhi undang-undang, Tun ajar supaya jauhi demonstrasi jalanan. Tun adalah sifu kami. Kami ikut apa yang diajarnya. Sebab itu kami sangat-sangat kecewa,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama barisan Exco dan ketua bahagian sayap pergerakan itu mengadakan pertemuan tertutup selama sejam bersama Perdana Menteri. Najib mengambil peluang itu untuk menerangkan pelbagai isu semasa.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, Wanita UMNO yakin Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden parti akan membuat keputusan secara bijaksana mengenai teka-teki berhubung masa depan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, selaku pemimpin par­ti terbesar orang Melayu, Perdana Menteri semestinya perlu berfikir panjang dalam apa juga tindakan yang mahu diambil terutama berkaitan dengan kedudukan Muh­yiddin.

Bagaimanapun tegasnya, beliau percaya desas-desus kononnya bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersama beberapa pemimpin kanan UMNO lain akan dipecat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 9 September ini adalah khabar angin.

“Saya percaya beliau akan membuat keputusan bijaksana. Selaku Presiden UMNO, apa sahaja beliau buat, mesti berfikir panjang,” katanya.

Shahrizat dalam pada itu mengulangi pendirian bahawa Wanita UMNO sentiasa berdiri teguh di belakang kepemimpinan Najib terutama ketika kerajaan diasak dengan pelbagai fitnah dan tuduhan liar daripada pihak pembangkang.

Menurutnya, pendirian tersebut dibuat secara sebulat suara oleh Wanita UMNO kerana sebenarnya banyak pencapaian positif dicapai negara di bawah kepemimpinan Najib tetapi pihak yang mengkritik beliau hanya menilai kepada aspek negatif.

“Banyak yang positif di Malaysia ini sejak Najib menjadi Perdana Menteri tetapi malangnya ada terbawa-bawa dengan agenda pembangkang,” katanya.( Utusan online-).Posted by abnmulya/Hj.Bakar Ninggal.blogspot.com.at 8.40 am on September  04,
2015 .

No comments: