Aksi di Arena Spice, di sini me­nyaksikan Chong Wei merangkul kejuaraan kelimanya dalam kejohanan itu selepas menewaskan Iskandar 21-18, 21-11 dalam saingan yang memakan masa 42 minit.
Chong Wei yang merangkul kejuaraan pertama di kampung halamannya berkata, Iskandar memberi tentangan yang cukup baik, selain berkeyakinan pemain berusia 25 tahun itu akan terus cemerlang dalam siri kejohanan yang akan disertainya selepas ini.
Katanya, pemain kelahiran Muar itu menunjukkan corak permainan luar biasa sepanjang kejohanan tersebut berbanding corak permainannya sebelum ini yang dilihat kurang meyakinkan.
“Kita boleh tengok dia bermain dengan baik bermula dari pusingan pertama, malah permainannya juga ba­nyak berubah.
“Sebelum ini dia cepat putus asa, namun sekarang dia lebih sabar dan mencari peluang untuk menunggu lawan melakukan kesilapan sebelum melancarkan sera­ngan.
“Pada set pertama, dia banyak bersabar dan tunggu saya buat silap untuk cari mata tetapi di set ke­dua saya ikut permainannya dan gunakan pengalaman untuk menang.
“Pesanan saya buat Iskandar, tidak mengapa kalah di sini, lepas ini saya percaya dia akan jadi lebih bagus,” katanya.
Sementara itu, Iskandar mengkui, kepantasan yang dimiliki Chong Wei merupakan perkara yang ingin dipelajari, selain kemampuan membaca hantaran-hantaran yang akan dilakukan pihak lawan.
Meskipun tewas tetapi dia tetap berpuas hati kerana berjaya mening­katkan kualiti permainan, selain berazam untuk mencari sebanyak mungkin mata bagi membolehkannya beraksi dalam kejohanan bertaraf Siri Super selepas ini.
“Sebenarnya saya datang ke sini bawa baju sedikit sahaja tetapi lepas saya kalahkan Son Wan Ho di pusingan pertama, tahap keyakinan saya meningkat.
“Dalam perlawanan akhir ini, saya lihat bukan mudah untuk dapat satu mata ketika menentang Chong Wei kerana dia mempunyai kepantasan luar biasa selain boleh membaca pergerakan lawan, itu antara sebab ramai pemain susah mahu tewaskannya,” katanya
Sementara itu, beregu berpengalaman negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal meraih kejua­raan apabila tewas kepada pasangan muda Indonesia, Gideon Markus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-18, 13-21, 18-21.
Kekalahan itu merupakan yang kedua buat pasangan Kien Keat-Boon Heong kepada pasangan itu selepas kali pertama di Grand Prix Emas Terbuka Vietnam, tahun lalu.
Dalam pada itu, impian beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meraih kejuaraan sulung selepas kali pertama bergandingan secara tetap juga tidak kesampaian apabila terpaksa akur kepada pasangan muda China, Zheng Siwei-Li Yinhui 14-21, 19-21.(Utusan online-Sukan).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.,at 8.04 am on Janaury 25,2016.