Tan Tuan Tat
Bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat mendakwa semua wakil DAP termasuk Guan Eng iaitu Setiausaha Agung parti yang belum disahkan jawatannya, tidak mempunyai kapasiti tersebut memandangkan ROS tidak mengiktiraf pemilihan semula parti yang dijalankan pada 29 September 2013.

“Jadi, bagaimana individu yang tidak di­sah­kan jawatan mempunyai kuasa menandatangani se­barang watikah parti? Apabila pemilihan parti tidak sah, maka komposisi CEC termasuk kedudukan pengerusi, setiausaha agung adalah tidak sah.

“Justeru, sebarang surat yang ditandatangani oleh Guan Eng juga dianggap tidak sah,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan DAP dan demokrasi dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Tat mendakwa Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng dilihat mempunyai kuasa veto dalam parti dan sebarang keputusan yang dibuat oleh dua pemimpin tertinggi itu tidak boleh dipertikaikan dengan sewenang-wenangnya.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek itu menambah, sebuah parti tidak boleh dianggap demokratik sekiranya pandangan majoriti akar umbi di­pinggirkan.

“Walaupun barisan CEC dipilih oleh perwakilan ketika pemilihan pusat parti, hakikatnya mereka tidak mempunyai kuasa untuk menentukan jawatan yang akan dipegang oleh ahli CEC. Seringkali pemimpin yang mendapat jumlah undian yang tinggi tidak diberi jawatan penting dalam DAP.

“Misalnya, insiden yang paling ketara semasa pemilihan semula CEC yang diadakan pada September 2013, Guan Eng mendapat undi lebih rendah daripada Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, tetapi Guan Eng pula dilantik semula sebagai Setiausaha Agung, sekali gus mengukuhkan kedudukan dan kekuasaannya. Apakah itu konsisten dengan amalan demokrasi DAP?” ujarnya.

Jelas beliau, rakyat perlu mengetahui bahawa DAP tidak mengamalkan demokrasi seperti mana yang diuar-uarkan oleh parti itu dan menyifatkan pemimpin DAP pantang dikritik.( Utusna onlien).Posted by abnmulya // hj.abu bakar ningal.blogspot.com at 10.42 am on Jan 20,2016.