Reezal Merican Naina Merican
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Me­rican menegaskan buat masa ini, UMNO tidak boleh melayan politik berasaskan serangan peribadi.

Katanya, keputusan Majlis Ter­tinggi esok akan membayangkan komitmen parti untuk mendahulukan rakyat selain tidak melayani golongan yang mahu menjadi ‘primadona’ dan mendahulukan ego peribadi.

“Tidak ada sesiapa yang wajar diberikan layanan istimewa, tatkala parti memerlukan usaha berterusan memperteguhkan kewibawaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Rakyat sedang memerhati tindakan dan bagaimana kita menyantuni pemimpin serta pejuang lama. Ya, mungkin kita boleh berbeza pandangan dalam perkara tertentu, tetapi menyerang Presiden parti dengan tuduhan tidak berlandaskan fakta serta kebenaran tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa ahli parti yang dilihat kerap menyerang Najib secara terbuka sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memberitahu, beliau menyokong usaha untuk mengambil tindakan kepada amalan serangan terbuka yang dilakukan oleh Timbalan Presi­den, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Najib.

Bagaimanapun, Reezal Merican menjelaskan bahawa perkara itu tidak bermakna beliau tidak menghormati pandangan Muhyiddin.
“Dalam sebuah organisasi, kita tidak boleh terus-terusan berada dalam keadaan yang serba defensif dan serba salah.

“Saya khuatir jika sikap dan pendirian yang bertentangan dengan institusi Presiden ini berterusan, parti akan diheret sama ke aras sokongan politik yang sukar,” katanya.(Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 7.36 m on February 26,2016.