Gua Musang 12 Mac – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak berminat mengisi jawatan Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) meskipun terdapat cadangan supaya beliau menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tengku Razaleigh Hamzah
Beliau yang juga pengasas Petronas berkata, tiada peruntukan undang-undang menetapkan bahawa jawatan Penasihat perlu terdiri daripada kelompok bekas-bekas pemimpin.
“Setahu saya, peruntukan dalam undang-undang Akta Kemajuan Petroleum, Majlis Penasihat Petroleum harus terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, pakar minyak dan setiap wakil dari negeri yang mengeluarkan minyak.
“Saya rasa itulah badan penasihat yang boleh menasihatkan kerajaan tentang dasar minyak, lombong dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Tohoi, Pos Tohoi di sini hari ini.
Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, penamatan perkhidmatan Dr. Mahathir sebagai Penasihat Petronas adalah perkara biasa yang sememangnya sudah dijangka.
“Sebelum ini, dia (Dr. Mahathir) sudah lama ingin meletak jawatan tetapi kerajaan tidak menerima peletakan jawatan itu dan saya meminta agar dia meneruskan tugas tersebut.
“Semalam saya melihat dalam televisyen Kabinet telah melucutkan jawatan dia. Namun, saya dengar kenyataan daripada Mahathir bahawa dia dah hantar surat berhenti sebelum Kabinet buat keputusan,” katanya.(Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 7.40 am on March 13,2016.
No comments:
Post a Comment